Khamis, 10 November 2016

Penyu jangan mendabik dada - Kok Heng


 

ARKIB : 02/12/1998
PEMAIN import Perak, Janos Krecska (kanan depan) berlatih bersama rakan sepasukan di Ipoh, semalam menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 12 Disember ini. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

BERDASARKAN rekod pertemuan lalu, Terengganu jelas mempunyai sebab tersendiri untuk mengatakan mereka lebih berhak membawa pulang gelaran sebagai juara Piala Malaysia musim ini.

Namun jika itu anggapan skuad Penyu, mereka sebenarnya tersilap jangkaan kerana kesebelasan pemain Perak yang akan dihadapi pada perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini berbeza dari segi semangat dan komitmen.

Ini ditegaskan oleh pemain paling senior dalam skuad Seladang, Chan Kok Heng yang menyifatkan rekod pertemuan pada tahun 1997 bukan pencapaian yang boleh dijadikan ukuran.

Beliau yang sudah 10 tahun setia menyumbangkan tenaga kepada pasukan ini menegaskan keadaan kini berbeza kerana pertemuan kali ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia dan bukannya perlawanan liga atau Piala FA.

''Skuad Perak kali ini jauh berbeza berbanding tahun 1997 di mana pemain-pemain yang ada sekarang mempunyai semangat dan komitmen yang lebih tinggi berbanding dahulu.

''Setiap pemain jelas tidak mahu melepaskan peluang untuk menjuarai Piala Malaysia ini buat kali pertama sejak 1970 dan keazaman itulah yang akan mengiringi kami ke Stadium Bukit Jalil nanti,'' tegasnya yang juga bekas ketua pasukan Perak pada 1997.

Perak pada tahun itu tidak pernah menang dalam empat pertemuan mereka dengan Terengganu sama ada dalam perlawanan Liga Perdana mahu pun dalam persaingan Piala FA.

Skuad Seladang hanya mampu seri dua kali dan kalah juga dua kali. Mereka seri 1-1 di Kuala Terengganu dan kalah 1-2 di Ipoh dalam perlawanan liga.

Dalam perlawanan timbal balik Piala FA, Perak juga seri 0-0 di Kuala Terengganu dan kemudiannya tewas menerusi sepakan penalti 3-4 selepas terikat 0-0 dalam 90 minit permainan di Kuala Lumpur ketika itu.

Tahun ini, kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu kerana Terengganu bermain dalam Bahagian Dua manakala Perak dalam Bahagian Satu. Lebih menarik, kedua-dua pasukan adalah naib juara kumpulan masing-masing pada persaingan peringkat awal Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbXxutFR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan