ARKIB : 21/03/1999

PENYERANG Perak, V. Saravanan
(21) cuba dikejar oleh dua pemain pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Perdana
Satu, malam tadi. Perak menang 1-0. - Gambar MOHAMAD HASHIM.
JUARA Piala Malaysia, Perak
membuka kempen bola sepak Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila menewaskan
Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.
Walaupun bermain atas padang
basah dan di depan hanya 7,000 penyokong sendiri, Perak membuktikan mereka
antara pasukan pilihan musim ini dengan memperoleh gol menerusi M. Nagaraja
pada minit ke-50.
Terima kasih kepada penjaga gol
Sabah, Khairul Azman Mohamad yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu
sekali gus membolehkan Perak memungut tiga penuh.
Ternyata label sebagai pasukan
juara menyaksikan Perak terus mengasak sebaik permainan dimulakan namun
percubaan minit pertama P. Gunasekaran ditampan kemas Khairul Azman.
Keghairahan Perak mencari gol
awal jelas memaksa Sabah hanya bertahan selepas itu biar pun cuba menyaingi
rentak pantas tuan rumah yang mengamalkan hantaran-hantaran pendek yang kemas
untuk memecah kubu lawan.
Saravanan yang sentiasa menjadi
duri dalam daging bagi pertahanan Sabah berpeluang menjaringkan gol pada minit
ke-9 tetapi larian solonya dari tengah padang gagal disempurnakan apabila
sepakan leretnya terkena tiang ketika Khairul sudah pun tertewas.
Asakan digandakan oleh Perak
namun mereka mendapati pertahanan Sabah yang diterajui Veselin Kovasevic
terlalu kebal untuk ditembusi.
Walaupun tertekan dengan corak
permainan lawannya, Sabah sempat mencuri peluang pada minit ke-39 namun sepakan
kencang Henry Soimpon dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar penjaga gol
Perak, V. Murugan.
Bagaimanapun Sabah tidak mampu
lagi bertahan apabila lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Perak
memperoleh gol menerusi Nagaraja yang menyambut bola muntah hasil kesilapan
Khairul yang gagal menolak keluar bola tandukan Mior Nor Samsul dari kawasan
bahaya.
Gol itu bagaimanapun gagal
menyuntik semangat pemain-pemain Perak sebaliknya menyaksikan Sabah mengambil
giliran melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Dalam keletihan, pertahanan
Perak dipaksa bertahan namun ketumpulan barisan serangan Sabah menyelamatkan
keadaan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.
Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QL8iLBod
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan