Rabu, 9 November 2016

Perak jangan terlalu ghairah


 

ARKIB : 25/11/1998
Perak jangan terlalu ghairah
JURULATIH Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menunjukkan cara mengambil sepakan penalti kepada pemain-pemain pasukan itu pada sesi latihan di Kuala Terengganu, semalam. - Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.

PERAK seharusnya tidak terlalu yakin dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila menentang Negeri Sembilan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sebaliknya jurulatih Negeri Sembilan, M. Karathu menyatakan rekod pasukannya juga agak cemerlang apabila bermain di luar dan ia menjadi suntikan semangat untuk menumpaskan Perak.

Berbekalkan tiga kemenangan dalam kancah saingan awal Piala Malaysia di tempat lawan ketika menewaskan Terengganu 2-0, Kuala Lumpur 1-0 dan Kedah 3-2, Karathu yakin ia menjadi bekalan terbaik kepada pemain.

''Tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kemampuan pemain saya sendiri. Rekod tiga kemenangan itu membuktikan betapa pasukan saya boleh menyekat Perak dari mengukir kemenangan.

''Dan pemain sendiri sudah tahu keyakinan masing-masing apabila bertandang ke Perak nanti.

''Lagipun permainan Sabtu ini tidak hanya memihak kepada tuan rumah malah buat Negeri Sembilan juga turut berpeluang untuk meraih kemenangan,'' ujar Karathu ketika ditemui semalam.

Karathu turut melihat kekalahan Perak 1-4 kepada Sabah dan keputusan seri 1-1 bertemu Sarawak membuktikan lawan tidaklah sekuat mana.

Malah beliau merumuskan peluang kedua-dua pasukan adalah sama rata biarpun Perak ada kelebihan kerana bermain di tempat dan di hadapan penyokong sendiri.

''Cuma saya mahu pastikan pemain tidak lagi melakukan kesilapan seperti mana pertemuan di Paroi Sabtu lepas.

''Kedua-dua gol yang diperoleh oleh Perak adalah akibat kesilapan benteng pertahanan. Ini yang cuba saya elakkan daripada pemain melakukan kesilapan itu semula,'' ujarnya lagi.

Biarpun Perak akan menurunkan kesebelasan utama ketika terikat seri 2-2, Karathu tetap tenang dengan keyakinan semangat tinggi pemainnya untuk memastikan kemaraan ke perlawanan akhir 12 Disember ini.

Buat Karathu dengan perkhabaran buruk ekoran kecederaan yang menimpa penyerang veteran, Dollah Salleh memungkinkan pemain itu tidak diturunkan.

''Saya masih ada pemain lain, biarpun ia satu kehilangan yang agak besar ketika berdepan dengan perlawanan yang begitu penting,'' katanya.

Pada perlawanan separuh akhir Sabtu lepas, anak buah Karathu dikejutkan dengan gol awal lawan menerusi V. Saravanan sebelum Dollah tampil dengan jaringan penyamaan.

Begitupun Azrul Amri Borhan menyentap semangat pemainnya dengan gol pendahuluan sebelum pemain pertahanan, A. Ganeson menanduk masuk gol penyamaan di minit-minit akhir perlawanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PW43hAKQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan