ARKIB : 30/11/1998
KEJAYAAN Perak melangkah ke
final Piala Malaysia mengesahkan kebangkitan pasukan itu sekali gus menafikan
tanggapan banyak pihak di awal musim bahawa skuad Seladang adalah pasukan
belasahan, lapor RAMLI ABDUL KARIM.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perak (PFA), Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, selaku pasukan under dog yang
langsung tidak diberi harapan selama ini, kejayaan itu adalah bukti Perak
berupaya mencatat kejutan.
Menurutnya, reputasi skuad
Seladang tenggelam ekoran persembahan tidak konsisten dalam Piala FA dan
persaingan dalam Liga Perdana Satu musim ini.
''Kemenangan malam tadi
(kelmarin) merupakan sesuatu yang paling berharga buat Perak. Ia juga
penjelasan terbaik kepada mana- mana pihak yang selama ini memandang rendah
pasukan ini bahawa mereka sebenarnya telah tersilap langkah,'' katanya kepada
pemberita di Pasir Salak, semalam.
Selepas terikat agregat 2-2 di
Seremban minggu lalu dan 0-0 sepanjang 90 minit di Stadium Perak, kelmarin, Lim
Seng Kong meranapkan impian Negeri Sembilan menerusi jaringan emasnya pada
minit ke-6 masa tambahan sudden death.
Perak akan bertemu Terengganu
dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil pada 12 Disember ini. Terengganu
mengaibkan Sabah dengan agregat 4-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Ramli yang juga Menteri Besar
percaya setiap pemain telah digarap dengan semangat sepasukan tinggi yang
menjadi faktor utama kepada kejayaan itu.
Mengenai perlawanan akhir,
Ramli berkata, pemain harus melupakan seketika soal ganjaran yang dijanjikan
sebaliknya menumpukan perhatian menghadapi Terengganu.
Menurutnya, tugas yang lebih
penting kini ialah memastikan penantian Perak selama 28 tahun untuk membawa
pulang Piala Malaysia berakhir pada 12 Disember ini.
''Saya ulangi bahawa ganjaran
tetap ada. Tetapi saya tidak mahu ia mengganggu tumpuan pemain. Biarlah Piala
Malaysia sah menjadi milik Perak terlebih dulu,'' tegasnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbRwYQmR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan