ARKIB : 24/11/1998
WALAUPUN tiket ke perlawanan
akhir Piala Malaysia belum menjadi hak mutlak Perak, ganjaran lumayan telah
dijanjikan untuk barisan pemain sekiranya berjaya membawa pulang piala
berprestij itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perak (PFA) Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, bentuk insentif itu belum lagi
ditentukan tetapi sudah tentu ia penghargaan terbesar kepada pemain.
Menurutnya, sememangnya sasaran
Perak pada musim ini ialah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan
memenangi piala tersebut setelah mengidamkannya selama 28 tahun.
''Jika Piala Malaysia sah
menjadi milik Perak, sebagai Presiden PFA saya berjanji akan membincangkan
(dalam PFA) tentang habuan kepada para pemain,'' katanya kepada pemberita di
Kampung Gajah, Perak Tengah pagi semalam.
Kali terakhir Perak menjulang
Piala Malaysia pada 1970 dan pencapaian terbaik selepas itu ialah layak ke
separuh akhir pada 1989 dan 1990.
Namun tegas Ramli, para pemain
perlu memastikan mereka menundukkan Negeri Sembilan pada perlawanan separuh
akhir kedua di Stadium Perak Sabtu ini.
Beliau yakin dengan prestasi
cemerlang anak buah Karl Weigang kebelakangan ini dan ditambah pula kelebihan
bermain di gelanggang sendiri, Perak mampu menafikan cita-cita besar Negeri
Sembilan di Ipoh nanti.
''Saya patut memuji para pemain
yang tidak patah semangat, malah semakin menjadi lebih kuat. Nampaknya prestasi
Perak semakin baik menjelang penghujung musim.
''Jika peningkatan ini
dipertahankan, saya yakin Perak boleh ke final. Saya penuh yakin Perak akan
mencapai kemenangan Sabtu ini,'' ujarnya.
Menurut Ramli, kebangkitan
mendadak pasukan Perak adalah tanda keazaman tinggi pemain untuk mengembalikan
maruah skuad Seladang yang tercalar pada peringkat liga dan juga Piala FA musim
ini.
''Saya lihat pemain Perak
semakin profesional, bukan dalam erti kata gaji beribu-ribu ringgit tetapi skil
permainan dan cara mengawal permainan,'' katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar
Perak menasihatkan para pemain lebih berwaspada terutama sewaktu menjalani
latihan bagi mengelakkan kecederaan mendatangkan kepincangan kepada pasukan.
Sementara itu, Ramli berkata,
pihaknya akan membincangkan hasrat Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin
Raja Omar untuk meletakkan jawatan kerana ingin menumpukan perhatian kepada
tugasnya sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
''Biarlah kita fikir tentang
perjuangan ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan memenanginya. Soal ini (Raja
Ahmad) kita bincang kemudian,'' jelasnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PW2snjpZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan