Rabu, 16 November 2016

Semangat Yop berkobar semula

ARKIB : 09/03/1999
KEYAKINAN pemain bola sepak Perak kini semakin kukuh selepas soal kelewatan kerajaan negeri membayar ganjaran RM25,000 tidak lagi menghantui fikiran mereka.

Sebaliknya mereka kini boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada persiapan skuad Seladang dalam menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor di Stadium Perak, Ipoh, 14 Mac ini.

Mereka menyifatkan pemberian wang oleh kerajaan negeri Perak itu perlu dijadikan suntikan semangat bagi mencipta pencapaian lebih baik pada musim ini.

Beberapa pemain yang ditemui di Grik semalam ternyata lega dengan pembayaran ganjaran itu apatah lagi ia memang diharapkan dalam kegawatan ekonomi sekarang.

Seorang pemain, Chan Wing Hoong berkata, wang yang diperoleh itu akan dipergunakan untuk keluarganya.

''Saya juga akan membuat simpanan dalam bank untuk masa depan,'' kata Wing Hoong.

Dia berkata, ganjaran itu berjaya memberi satu suntikan baru dalam mengatur pelbagai strategi untuk menewaskan pasukan lawan dalam setiap perlawanan.

Seorang lagi pemain, Azrul Amri Burhan pula berkata, dia belum mempunyai rancangan untuk membelanjakan wang yang diterimanya itu.

''Ganjaran itu amat menyeronokkan saya dan pemain lain,'' katanya.

Manakala penjaga gol, Zamri Mat Ariff berkata, apa yang dilakukan itu, menunjukkan Tan Sri Ramli prihatin terhadap kebajikan pemainnya.

''Soal lambat dan cepat memberi ganjaran adalah perkara biasa, yang penting pemain telah diberi suntikan baru,'' katanya.

Sehubungan itu, Zamri berharap rakan-rakannya menanam tekad 'kita mesti menang dalam setiap perlawanan bermula dari Piala Sumbangsih' nanti.

Semalam, kesemua pemain Perak telah diraikan dalam satu majlis di Dewan Bandaran Gerik oleh peminat tempatan.

Turut menyambut mereka ialah Pegawai Daerah, Ismail Dolah Harun, Ahli Dewan Undangan Temenggor, Ahli Dewan Undangan Negeri, Mokhtaruddin Mohd. Kaya dan ADUN Kenering, Khamsiyah Yeop.

Mereka membawa Piala Malaysia ke kawasan Hulu Perak, bermula di Lenggong ke Pengkalan Hulu sebelum tiba di Gerik.

Oleh: ABD. RAZAK OSMAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q9lk9HlW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan