ARKIB : 18/03/1999
PENGURUSAN bola sepak Perak
memberi tempoh sebulan kepada tiga pemainnya untuk pulih daripada kecederaan
jika tidak mahu mereka melupakan saja hasrat untuk menyarung jersi skuad
Seladang musim ini.
Amaran itu disuarakan pengurus
pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kerana menyedari pelaburan yang
dibuat ke atas Domi Che Non, L. Suresh dan Talib Sulaiman dalam tempoh terdekat
ini belum lagi menampakkan hasil.
Ternyata keresahan dan
kesabaran Perak terhadap ketiga-ketiga pemain berkenaan sudah sampai ke
kemuncaknya apatah lagi saingan Liga Perdana Satu akan bermula hujung minggu
ini.
''Saya beri tempoh sebulan
kepada mereka dan jika tidak juga pulih, saya percaya mereka mungkin berdepan
masalah besar daripada pihak pengurusan,'' ujarnya.
Dengan seorang lagi ayam
tambatan baru Perak iaitu Samsurin Abdul Rahman baru saja menjalani pembedahan
di kaki, Raja Ahmad mungkin baru menyedari beliau terbeli 'ayam tempang' rupanya.
Pastinya, langkah membawa Domi
dan Shamsurin adalah pelaburan yang paling mengecewakannya kerana dua pemain
inilah yang diharapkan untuk memperkukuhkan lagi barisan skuad Seladang musim
ini.
Malangnya kedatangan mereka
membawa masalah pula kepada pengurusan Perak apatah lagi terpaksa menunggu
mereka benar-benar pulih daripada kecederaan.
Berikutan keadaan itu, Perak
kini hanya meletakkan harapan tentunya kepada pemain-pemain musim lalu untuk
mengharungi cabaran awal Perdana Satu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4QAlSmmkT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan