Khamis, 10 November 2016

Karl Weigang, Repasi bergaduh

ARKIB : 10/12/1998
IBARAT gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletup, begitu jugalah rahsia yang selama ini cuba ditutup oleh pengurusan pasukan Perak, akhirnya terbongkar jua.

Hakikatnya, ketegangan hubungan antara jurulatih Karl Weigang dan penyerang import, Laszlo Repasi sampai ke kemuncaknya petang kelmarin apabila mereka terbabit dalam satu pergaduhan.

Kejadian yang berlaku di bilik persalinan pada pukul 5 petang itu ternyata mengejutkan terutama ketika Perak sedang membuat persiapan rapi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini.

Lebih malang, kejadian itu mendorong Repasi membuat laporan di Balai Polis Ipoh pada pukul 8 malam hari yang sama selepas mendakwa mengalami kecederaan leher.

Malah dia juga telah melantik sebuah firma guaman, Naran Singh & Co. untuk membawa perkara ini dan Weigang ke mahkamah.

Repasi ketika dihubungi mengesahkan dia diserang sebanyak dua kali oleh Weigang ketika cuba menyatakan hasratnya untuk beraksi dalam perlawanan akhir.

Bagaimanapun katanya, Weigang bertegas tidak menyenaraikannya dengan alasan dia bukan lagi pemain Perak.

''Ketika saya bangun untuk ke padang, Weigang meluru dan mencekik saya menyebabkan saya tidak dapat bernafas. Pegawai fisioterapi, See Kim Leong yang melihat kejadian itu cuba membantu tetapi ditolak Weigang sebelum dia sekali lagi menyerang saya,'' jelasnya.

Hubungan renggang antara dua personaliti berpengaruh dalam pasukan Perak itu sebenarnya bukan lagi rahsia di kalangan pemain dan wartawan tempatan.

Cuma ia tidak mahu diperbesar-besarkan bagi menjaga hati pengurusan pasukan di samping tidak mahu menjejaskan tumpuan pemain-pemain lain yang begitu mengidamkan Piala Malaysia.

Difahamkan, punca Weigang benci kepada Repasi bermula apabila pemain itu dikatakan sengaja memberi alasan cedera agar tidak diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang lalu.

Berikutan itu, Repasi tidak pernah diturunkan dalam empat perlawanan terakhir termasuk dalam perlawanan separuh akhir menentang Negeri Sembilan.

Dengan perkembangan terbaru ini juga bermakna, nama Repasi boleh dikatakan sudah pun tercicir daripada senarai pemain untuk perlawanan akhir angkara sikap buruk beliau sendiri.

Jurucakap polis di Ipoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Repasi itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Pc42SzkR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan