
ARKIB : 13/12/1998
PEMAIN Perak, Azrul Amri Burhan
(depan) cuba mengawal bola dalam perebutan dengan dua pemain Terengganu pada
perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Perak menang menerusi tendangan penalti 5-3.
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Perak
muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas ia menewaskan Terengganu 5-3
menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium
Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Kejayaan ini merupakan kali
kedua Perak merangkul piala keagungan bola sepak negara selepas menjulangnya
buat pertama kali pada 1970.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
pada 90 minit permainan dan seri tanpa jaringan pada masa tambahan 30 minit.
Perak memperoleh gol penalti
menerusi Roslan Hamid, Khairul Anwar, Lim Seng Kong, Chan Kok Heng dan Janus
Kcrecka.
Bagaimanapun Terengganu gagal
memanfaatkan peluang jaringan apabila menyaksikan sepakan Badrul Hisham
Abdullah tersasar keluar dari gawang.
Sebelum itu, jaringan penalti
Terengganu dihasilkan oleh Anuar Jusoh, Jean Nyima dan Rosadi Wahab.
Terengganu belum pernah
mengukir sebarang kemenangan Piala Malaysia selepas sekadar muncul naib juara
sebanyak dua kali pada 1973 dan 1982.
Perak kali terakhir menjulang
Piala Malaysia pada tahun 1970 dan kemenangan semalam merupakan buat kali
kelima selepas 1926, 1931, 1957, 1967 dan 1970.
Selepas beraksi pada masa
tambahan 30 minit, kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan gol sehingga
membawa kepada sepakan penalti.
Sebelum itu, kedua pasukan
terikat dengan keputusan 1-1 menamatkan kancah saingan sengit 90 minit. Perak
membuka tirai jaringan pertama menerusi jaringan V. Saravanan pada minit ke-58
sebelum Mohd Noor Derus menyamakan kedudukan pada minit ke-83.
Situasi itu memaksa perlawanan
dilangsungkan pada masa tambahan sudden-death.
Perak yang diilhamkan oleh
jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang nyata garang sebaik babak bermula
menerusi gandingan serangan mantap V. Saravanan dan M. Nagaraja.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PgdegkbA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan