ARKIB : 23/11/1998
KEGAGALAN mengukir kemenangan
ketika dua kali mendahului lawan belum menutup sisa-sisa perjuangan Perak untuk
mara ke perlawanan akhir 12 Disember ini, lapor AMRAN MULUP.
Persembahan menarik dengan
corak permainan pantas mengekang Negeri Sembilan daripada mengukir kemenangan,
petanda baik kebangkitan Perak khususnya apabila menanti kunjungan lawan Sabtu
ini di hadapan penyokong sendiri.
Biarpun pada satu ketika Perak
cukup selesa mendahului 2-1 untuk membawa kemenangan sebagai bekalan namun
jaringan penyamaan A. Ganeson di minit-minit terakhir menjadi pemusnah.
Biarpun pengurus pasukan, Datuk
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar agak kecewa namun beliau menyifatkan keputusan
itu ada hikmah di sebaliknya.
''Kalau menang, cuma saya bimbangkan
pemain akan terlalu leka dan mungkin mereka akan mengambil sikap mudah bermain
di gelanggang sendiri Sabtu ini.
''Tetapi kini mereka tahu,
hanya aksi berbaki 90 minit lagi perlu diharungi bagi merealitikan impian layak
ke akhir,'' ujar Raja Ahmad ketika dihubungi semalam.
Katanya, kelebihan bermain di
gelanggang sendiri seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh pemain bagi meraih
kemenangan.
''Logiknya jika mereka beraksi
cemerlang dan dua kali mendahului Negeri Sembilan, pastinya aksi di gelanggang
sendiri lebih daripada itu mampu mereka pamerkan.
''Peminat sudah terlalu lama
dahagakan kejayaan Perak di Piala Malaysia. Kita sekadar berbangga kejayaan
pada 1990 muncul juara Piala FA dan selepas itu tiada yang dapat dibanggakan,''
katanya.
Perlawanan kelmarin menyaksikan
aksi permainan pantas Perak membuka tirai jaringan menerusi V. Saravanan pada
minit ke-8 dan Azrul Amri Borhan menambah jaringan di minit ke-52.
Begitupun Negeri Sembilan
bangkit menyamakan kedudukan menerusi Dollah Salleh (m-24) dan Ganeson (m-89).
Namun ketika Azrul terpaksa
dikeluarkan selepas terhincut-hincut pada babak kedua begitu juga dengan M.
Nagaraja, jentera serangan nampak kurang menyengat.
Jelas Raja Ahmad, Perak yang
akan beraksi Sabtu ini bakal turun dengan skuad yang cukup mantap dengan
kehadiran semula tonggak pertahanan, Roslan Hamid.
Roslan tidak beraksi pada
perlawanan kelmarin selepas mengutip kad kuning kedua manakala penjaring kasut
emas, Laszlo Repasi pula dijangka akan beraksi Sabtu ini.
''Tanpa Roslan di benteng
pertahanan nampak kurang mantap tetapi kehadiran dia Sabtu ini petanda baik
buat skuad Perak,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PVy3IY66
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan