Khamis, 10 November 2016

Pemain Perak cukup cergas

ARKIB : 06/12/1998
SEMUA pemain Perak lulus dalam ujian kecergasan yang dikendalikan jurulatih Karl Weigang selama lebih empat jam semalam sekali gus menyaksikan saingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu masih terbuka luas.

Dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini, setiap pemain Perak jelas memperlihatkan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika menghadapi Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini.

Apa yang menjadi pegangan Weigang, setiap pemain berpeluang beraksi pada perlawanan akhir itu nanti jika dapat menunjukkan kemampuan tinggi dalam semua segi.

''Ujian kecergasan hari ini (semalam) penting untuk menentukan barisan kemungkinan kesebelasan utama pasukan ini pada perlawanan akhir nanti.

''Saya harap, selain menguji kecergasan, pemain dapat mengenal pasti kelemahan yang mereka ada untuk diperbaiki menjelang perlawanan sebenar,'' ujarnya ketika ditemui selepas latihan di Stadium Perak, semalam.

Ketiadaan kecederaan ternyata memberi Weigang banyak pilihan untuk mempelbagaikan kombinasi pemain yang dirasakan perlu dan mantap seperti mana yang dilakukan ketika menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di separuh akhir kedua, minggu lalu.

Ketika itu, Weigang tidak menurunkan tiga pemain utamanya termasuk Lim Seng Kong yang akhirnya menjadi wira dengan gol kemenangan selepas dibawa masuk di separuh masa kedua.

Hari ini, semua pemain Perak diberi cuti rehat sebelum menjalani latihan esok

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PbxG2Qrp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan