Ahad, 6 November 2016

Perjuangan Perak belum berakhir

ARKIB : 08/11/1998
BELUM terlambat bagi Perak untuk mencerahkan kembali peluang beraksi di separuh akhir Piala Malaysia hasil kejayaan membenamkan sisa-sisa perjuangan Pahang dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi.

Sambil dibantu kemenangan Sabah 6-0 ke atas Brunei di Stadium Likas, Perak kini bakal membuat perhitungan dengan Brunei dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Hasanal Bolkiah Sabtu ini.

Tanpa Laszlo Repasi, Perak masih mampu mencatat kemenangan manis itu hasil jaringan Janos Krecska pada minit ke-28 dan Azrul Amri Burhan minit ke-42.

Hujan tidak menghalang kedua-dua pasukan rancak mengatur gerakan sebaik babak pertama dimulakan. Kedua pasukan berusaha mengelak menjadi pasukan tercorot dalam kumpulan B.

Dalam tempoh 15 minit pertama, pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus sehingga memaksa Pahang lebih banyak bertahan.

Pahang yang sekali-sekala menyerang akhirnya terpaksa akur pada minit ke-28. Bermula dengan sepakan kencang Gyorgy Takacs dari jarak 20 meter ditepis penjaga gol Pahang, Zuraimi Hassan, sepakan sudut selepas itu tidak lagi dapat menghalang Perak menjaringkan gol.

Takacs yang mengambil sepakan sudut itu terus melambungkan bola tepat ke kepala Janos yang mudah menanduk gol pertama sebelum Azrul menjaringkan gol kedua minit ke-42. Pahang menduduki tempat tercorot kumpulan B dan terpaksa menutup tirai musim ini dengan penuh kecewa.

PERAK: V. Murugan, Raja Azlan Shah, Chan Kok Heng, Roslan Hamid, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul Amri Burhan (P. Gunasekaran), Chan Wing Hoong, Lim Seng Kong, Janos Krecska, V. Saravanan.

PAHANG: Zuraimi Hassan, Jalaludin Jaafar, Emmanuel Kofi Ampiah, Khairulniza Mustafar, Mohd. Ali Tahar (Azhar Kamaludin), Melnikov Viatcheslav, Khairol Anwar Abd. Karim (Azaruddin Aziz), Ahmad Shaharuddin Rosdi, Baharuddin Osman, Naziman Nasil (Shahrul Nizam Sahat), Ahmad Shukri Mustapha.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PEFT3HlC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan