ARKIB : 25/08/1999
JUARA Piala Malaysia musim
lalu, Perak memulihkan kedukaan tewas pada perlawanan pembukaan Jumaat lepas
dengan kejayaan menundukkan Johor FC 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B bola
sepak kelayakan Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, Johor, semalam.
Bagaimanapun, skuad Seladang
terpaksa menunggu sehingga minit ke-60 pada babak kedua untuk membuka jaringan
menerusi bekas pemain kebangsaan, V. Saravanan yang menendang masuk bola pada
jarak 30 meter menewaskan penjaga gol Johor FC, Samsul Sabtu.
Tujuh minit kemudian, Saravanan
turut terbabit dengan gol kedua Perak apabila umpanannya kepada Mohd. Khalid
Jamlus menyaksikan penyerang kebangsaan itu membuat tendangan dalam kotak
penalti untuk melebarkan kedudukan.
Johor FC yang tertekan kemudian
memasukkan bekas pemain Melaka, Shamsurin Abdul Rahman pada babak kedua.
Bekas penyerang kebangsaan itu
berjaya merapatkan perbezaan jaringan pada minit ke-71.
Sementara itu di Stadium Kubu,
Melaka meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan pendahulu
Kumpulan B sebelum ini, Terengganu 1-0.
Tendangan penalti Mohd.
Rahuddin Kasmani pada minit ke-44 sudah cukup buat Melaka meraih tiga mata
penuh untuk merampas kedudukan di tempat teratas kumpulan.
Sepakan penalti diberikan
selepas pemain Melaka, L. Sugumaran dijatuhkan oleh pemain Terengganu, Azman
Ismail dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Melaka dipaksa
bekerja keras akibat diasak bertubi-tubi oleh pasukan dari pantai timur itu
sejak wisel perlawanan dibunyikan tetapi mungkin tuah tidak memihak kepada
Terengganu.
Separuh masa kedua menyaksikan
jentera penyerang pasukan Terengganu seolah-olah dijana semula selepas waktu
rehat apabila mengasak bermati-matian untuk mendapatkan gol penyamaan.
Namun perlu diakui
kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, A. Zainal Rabin yang berjaya mematahkan
serangan-serangan kencang pasukan lawan terutama pada babak kedua membolehkan
Melaka mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di Stadium Utama, Kangar,
Perlis turut merampas kedudukan tempat teratas Kumpulan A selepas menewaskan
pendahulu sebelum ini, Kedah 1-0.
Gol tunggal perlawanan itu
dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-43.
Brunei menggunakan kesempatan
beraksi di gelanggang sendiri dengan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan
pada perlawanan di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan.
Riwandi Wahit menyumbat gol
kemenangan Brunei pada minit ke-71
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S9ZwRKzf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan