ARKIB : 05/09/1999
JUARA bertahan, Perak
menghidupkan kembali sisa-sisa harapan untuk layak ke bola sepak Piala Malaysia
apabila meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu kumpulan B, Melaka dengan
kemenangan 2-0 dalam perlawanan kelayakan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Menyedari kekalahan akan
menutup terus cabaran mereka, pemain Perak turun dengan penuh bersemangat
tetapi dicemari sikap tidak profesional jurulatihnya, Karl Heinz Weigang yang
mencetuskan ketegangan pada minit ke-65.
Weigang tiba-tiba 'naik minyak'
sambil menyerbu dan memarahi pegawai dan pemain Melaka di bangku simpanan
selepas pemainnya, Chan Kok Heng dibentes dengan keras dari belakang.
Berikutan itu, permainan jadi
tegang sebelum menyaksikan M. Nagaraja dibuang padang pada minit ke-67 kerana
menerima kad kuning keduanya dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun separuh masa
pertama menyaksikan Perak berjaya mendahului 2-0 tetapi terpaksa menunggu
hingga minit ke-25 untuk memperoleh gol pertama menerusi Liew Kit Kong sebelum
M. Nagaraja menambah satu lagi gol pada minit ke-35.
Di Stadium Pasir Gudang, hasrat
Johor FC untuk mengutip mata pertama di gelanggang sendiri terus tidak
kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Terengganu.
Kekalahan itu sekali gus
menutup peluang Johor FC untuk melayakkan diri dari kumpulan B ke perlawanan
Piala Malaysia musim ini.
Terengganu memperoleh gol
pertama pada minit ke-31 menerusi Syamsol Mohd Saad yang menanduk kemas bola
hantaran silang Rosdi Talib.
Pasukan pelawat mengatur
serangan bertubi-tubi sehingga berjaya melebarkan jaringan sepakan kencang A.
Ganeson pada minit ke-36.
Khairuddin Omar menambah derita
Johor dengan jaringan ketiga Terengganu minit ke-44.
Gol tunggal Johor FC diperoleh
pada minit ke-85 menerusi sepakan Sheikh Ahmad Redzuan.
Dalam perlawanan kumpulan A,
Perlis menumpaskan Kelantan 2-1 untuk terus memberi saingan pada perlawanan di
Stadium Utama, Kangar.
Pasukan tuan rumah membuka
jaringan menerusi Rozmin Musa minit ke-18 tetapi Khamal Idris Ali menyamakan
kedudukan minit ke-35 sebelum Rozmin menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.
Brunei semakin mengukuhkan
cengkaman untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia apabila menang bergaya 3-1 ke
atas Kedah di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Awangku Salehuddin Pengiran
Damit menceriakan penyokong tempatan apabila membuka jaringan pada minit ke-33
tetapi penyerang muda Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyamakan kedudukan pada
minit ke-38.
Penyerang berbisa Brunei, Mohd.
Brian Iman melebarkan kedudukan 2-1 pada minit ke-60 sebelum Riwandi Wahit
menutup perlawanan dengan gol ketiga minit ke-74.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SFPOwpRL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan