Jumaat, 9 Disember 2016

Perak hampir pasti kehilangan Roslan

ARKIB : 23/09/1999
JUARA bertahan, Perak hampir pasti kehilangan khidmat pemain pertahanan berpengalaman, Roslan Hamid bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula 25 September ini, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.

Roslan, 33, yang merupakan pemain berpengaruh dan ketua pasukan Perak sejak dua tahun lalu dikatakan sudah tidak berminat untuk bermain dengan skuad Seladang ekoran wujud perselisihan faham dengan jurulatih, Karl Heinz Weigang.

Dia kini dikatakan berminat untuk menyarung kembali jersi negeri kelahirannya, Johor yang turut layak ke Piala Malaysia musim ini dalam saingan kumpulan B.

Jurucakap Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan Roslan sudah tidak turun lagi berlatih dalam sesi latihan yang dikendalikan Weigang sejak kebelakangan ini.

''Kali terakhir dia beraksi untuk Perak ialah pada pusingan pertama kelayakan Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Perak,'' ujar jurucakap itu.

Sebelum ini katanya, memang ada ura-ura Roslan akan digugurkan daripada skuad Seladang bersama penjaga gol, V. Murugan ekoran persembahan buruk mereka ketika tewas 2-3 kepada Terengganu.

Bagaimanapun kejayaan Perak menghidupkan kembali peluang ke Piala Malaysia menyebabkan PAFA mengambil keputusan 'tunggu dan lihat' mengenai kedudukan Roslan.

Perak tewas 1-2 kepada Melaka, menang 2-1 ke atas Johor FC di tempat lawan dan tewas 2-3 kepada Terengganu di tempat sendiri pada pusingan pertama kelayakan Piala Malaysia lalu.

Namun, mereka bangkit semula di pusingan kedua dengan menang 2-0 ke atas Melaka, 3-1 ke atas Johor FC di tempat sendiri sebelum mengejutkan Terengganu 2-1 di tempat lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SKi0mRrd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan