Sabtu, 31 Disember 2016

Juara liga terus jadi hambatan

ARKIB : 15/06/2000
KETIKA pertandingan bola sepak Euro 2000 yang sedang hangat berlangsung menjadi tumpuan, pusingan pertama Liga Perdana Satu berakhir kelmarin dengan Perak mengambil giliran selaku pemimpin baru selepas pertarungan sengit dengan pendahulu sebelumnya, Selangor memihak kepada skuad Seladang.

Perak, juara Piala Malaysia 1998 kini memiliki kelebihan dua mata di depan Selangor sebelum mengharungi 11 lagi perlawanan dalam pusingan kedua bermula Sabtu ini.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Red Giants di gelanggang sendiri sekaligus melebarkan kemenangan kali ketujuh buat Perak yang hanya mencatat satu kekalahan sepanjang pusingan pertama berbanding Selangor yang mencatat tiga kekalahan.

Begitupun, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi Sabtu ini dan Selangor pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merampas semula kedudukan tangga teratas selepas menguasainya hampir sebulan.

Namun apa yang pasti kedudukan Perak dan Selangor sebenarnya tidak selamat.

Pasukan di tangga ketiga, Pulau Pinang yang terlepas mahkota Piala FA minggu lalu selepas tewas 4-3 kepada Terengganu, masih berupaya untuk meneruskan langkah memburu gelaran liga.

Skuad bimbingan Irfan Bakti di tangga ketiga dengan 19 mata, dipisahkan hanya enam mata di belakang Perak dan tiga mata dengan Selangor.

Turut mengekori rapat tiga pasukan itu ialah Sarawak, Negeri Sembilan dan juara Piala FA yang baru, Terengganu.

Tiga pasukan ini masih berpeluang untuk mencabar kedudukan Perak mahupun Selangor dan Pulau Pinang.

Namun Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah masing-masing terpaksa bersaing dalam usaha untuk mengelak daripada terjerumus di tangga terbawah liga yang kini dihuni oleh Sabah dan Brunei.

Bagi Brunei yang mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia musim lalu bagaikan tidak bermaya mengharungi aksi awal tahun ini.

Tanpa dua ayam tambatan Brian Bothwell dan Patron Akakpo, Brunei terjerumus di tangga terbawah liga apabila hanya meraih satu kemenangan ke atas Sabah kelmarin.

Bagi Brunei hanya keajaiban mampu mengembalikan semula rentak mereka berbaki 11 perlawanan untuk menyapu bersih semua kemenangan bagi menjamin kedudukan dalam Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4UU0rfQ00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan