Khamis, 22 Disember 2016

Perak belasah Johor 8-1

ARKIB : 21/05/2000
PERAK mencipta rekod kemenangan besar apabila membelasah Johor 8-1, sementara Selangor kekal di tangga teratas selepas menang 2-0 ke atas Brunei dan Pahang pula meraih kemenangan dengan jaringan minit terakhir dalam tiga aksi bola sepak Perdana Satu yang berlangsung, semalam.

Selangor harus menjadi sebuah pasukan digeruni dalam kempen musim ini apabila terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas berikutan kemenangan ke atas Brunei 2-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Ia adalah kemenangan keenam bagi naib juara Perdana Dua musim lalu itu daripada lapan perlawanan dan memberikan kekalahan keenam buat Brunei dalam liga.

Selangor kini mengutip 19 mata, enam mata di depan pencabar terdekat, Pulau Pinang yang tidak beraksi semalam.

Brunei cuma mengutip dua mata daripada dua keputusan seri untuk terus menghuni tangga terbawah.

Pemain pertahanan Selangor, Lim Chan Yew membuka jaringan pada minit ke-17 sebelum penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman menggandakan gol buat Red Giant pada minit ke-77.

Rusdi seharusnya berjaya menyumbat tiga gol jika segala peluang yang dimilikinya pada awal babak pertama dan akhir babak kedua tidak dipersia-siakan.

Namun, Chan Yu yang lebih dulu mencuri tumpuan apabila sentuhannya di depan gawang lawan menyumbangkan gol pembukaan perlawanan.

Gol berpunca daripada tendangan sudut Jaafar Salleh yang ditanduk ke belakang oleh K. Sanbagamaran sebelum bola jatuh di kaki Chan Yu yang pantas menolak masuk di celah-celah pemain pertahanan Brunei.

Rakan penyerang Rusdi, Zami Mohd. Noor agak tenggelam aksinya semalam. Pemain itu hanya berupaya melepas satu tendangan kencang pada minit ke-43, tetapi bola melepasi tinggi atas palang gol Brunei.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berpesta gol apabila membelasah Johor 8-1. Perak mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.

Gol Perak dijaringkan oleh Azrul Amri Burhan (18), V. Saravanan (24), Chan Wing Hong (36, 79), Syamsol Saad (45), Shahrulnizam Sahat (63, 67) dan Liew Kit Kong pada minit ke-82.

Gol tunggal Johor diperoleh menerusi Liew Kim Tu pada mint ke-39.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, jaringan minit terakhir oleh pemain gantian, Wan Ahmad Ridzuan Hussin menyelamatkan Pahang daripada kempunan mengutip mata penuh sekali gus membantu juara bertahan itu menewaskan Sarawak 1-0.

Kemasukan Ridzuan yang menggantikan Shahrin Majid ternyata mendatangkan tuah yang ditunggu-tunggu tuan rumah sesudah memberi aksi hambar.

Tolakan perlahan kaki kirinya yang melepasi pennjga gol Sarawak , Mazlan Wahid sudah cukup untuk meneruskan kebangkitan konsiten Tok Gajah sejak empat perlawanan lalu.

Bagaimanapun, babak awal menyaksikan tuan rumah kembali kepada tabiat lama apabila diulit kegagalan mencipta gerakan berbisa untuk menghibur lebih kurang 3,000 penyokong setia mereka.

Sekalipun melangkah dengan serangan pantas untuk mencari gol terawal, Pahang nyata seperti kurang yakin mengekalkan rentak tersebut untuk tempoh yang lebih lama sejurus kemudian.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Ta5L6tHs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan