Ahad, 19 Mac 2017

Karathu sedia sambung kontrak

ARKIB : 07/11/2001
M. KARATHU bersedia meninggalkan jawatannya dengan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) jika Perak berkenan menyambung kontrak dengannya selepas membimbing skuad Seladang muncul naib juara Piala Malaysia.

Penentuan kontraknya akan diketahui apabila beliau bertemu dengan pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi dalam tempoh terdekat.

``Saya akan berjumpa dengan Datuk Jamal dalam dua tiga hari lagi untuk berbincang sama ada kontrak saya akan disambung,'' katanya, apabila dihubungi di Ipoh, semalam.

Karathu akan tamat kontrak dengan skuad Seladang pada hujung Disember ini.

``Tetapi saya mengaku suka untuk meneruskan hubungan yang sedia terjalin ini. Ini adalah tempat kelahiran saya, jadi sangat besar maknanya sekiranya saya dapat berkhidmat di sini,'' jelas Karathu.

Karathu bagaimanapun mempunyai sedikit masalah sekiranya ingin memperbaharui kontrak dengan Persatuan Bola sepak Perak (PAFA) kerana beliau juga masih terikat dengan jawatan pembimbing jurulatih dengan AFC.

``Tetapi jika PAFA membuat tawaran kepada saya, saya sedia meninggalkan AFC walau pun mereka juga berminat meneruskan khidmat saya,'' katanya.

Karathu hanya bersama Perak sejak Ogos lepas - mengambil alih jawatan daripada Karl Weigang ekoran kontroversi kerana tidak memiliki permit kerja.

Sejak kepulangan Karathu, Perak yang terumbang-ambing pada penghujung liga, berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Jamal Nasir berkata, beliau akan merujuk kedudukan jurulatih itu kepada Majlis PAFA untuk membuat keputusan.

Jamal Nasir juga berkata, sekurang-kurangnya empat pemain kebangsaan dan pemain-pemain dari Australia dan Eropah Timur berminat menyertai Perak, musim depan.

Namun katanya, sebahagian pemain kebangsaan terbabit masih mempunyai kontrak dengan pasukan masing-masing.

Beliau menambah, beberapa ejen termasuk dari Singapura telah menghubunginya untuk menawarkan khidmat pemain dari Australia dan negara Eropah Timur

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bp1Pabp3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan