Ahad, 19 Mac 2017

Perak, Kelantan mampu rakam kehebatan


 

ARKIB : 27/10/2001
Perak, Kelantan mampu rakam kehebatan
PENJAGA gol utama Terengganu, Zubir Ibrahim (kanan) dan rakannya, Ariffin Musa menjalani latihan ringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam menjelang perlawanan separuh akhir kedua menentang Kelantan malam ini. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.

Oleh JOHARI SHAWAL
MASIH ada masa buat Perak dan Kelantan untuk menafikan Pahang dan Terengganu ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia edisi ke-35, biarpun terpaksa berdepan kegetiran pada babak separuh akhir kedua, malam ini.

Sembilan puluh minit menjadi penentu terakhir bagi dua pasukan itu, yang masing-masing tewas pada separuh akhir pertama, Selasa lalu.

Perak hampa di gelanggang sendiri apabila tunduk kepada jaringan tunggal Ahmad Shahruddin Rosdi untuk Pahang berbekal tipis satu gol di Kuantan.

Kelantan pula gagal mengekang pasukan tuan rumah di Kuala Terengganu. Si Kijang tewas menerusi dua jaringan Sapian Wahid dan Mohd. Nafuzi Zain.

Apakah Stadium Darulmakmur bakal memberi khabar gembira buat juara bertahan, Perak atau pun Pahang akan meraikan kejayaan melangkah ke akhir buat kali keenam dalam sejarah penyertaan Piala Malaysia.

Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu pula telah menyaksikan Kelantan menyingkir pasukan pilihan sebelum ini, Pulau Pinang pada babak suku akhir minggu lalu.

Mungkinkah Kelantan akan sekali lagi merakam kehebatan seumpama itu pada peringkat terpenting ini malam ini.

Jurulatih Kelantan, K. Rajagopal menghadapi tugas amat berat untuk memastikan anak buahnya memadam kelebihan yang dimiliki Terengganu kerana perlu mencari dua gol untuk menyamakan agregat.

Cuma harapan Kelantan disandarkan kepada semangat pemain beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong sendiri untuk mengubah jalan cerita awal.

Pahang usah sesekali leka apabila melayan kunjungan Perak di Kuantan kerana Seladang amat terkenal dengan cara kebangkitan berbeza.

Biarpun Perak bermain di tempat lawan dengan tekanan penyokong tuan rumah, pasukan M. Karathu masih berupaya melenyapkan impian Tok Gajah.

Apa pun, tidak mustahil babak separuh akhir kedua malam ini boleh berlanjutan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti jika Pahang dan Terengganu tidak berwaspada.

Mungkin juga cerita sedih yang dikarang Perak dan Kelantan pada babak awal berakhir dengan episod ceria malam ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmUtts6p © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan