Selasa, 28 Mac 2017

Perak bukti sengat masih berbisa

ARKIB : 25/02/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
TANDUKAN skuad Seladang kembali berbisa selepas bermandi peluh beberapa hari lalu dan berhasil menjinakkan Bujang Senang dalam saingan bola sepak Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh dua hari lalu.

Yang jelas, jurulatih Perak, Toni Netto berpuas hati dengan sentuhan berbisa jentera serangan selepas menjalani latihan keras beberapa hari sebelum perlawanan.

Gandingan mantap V. Saravanan dan Mohd. Khalid Jamlus membantu Perak meraih tiga mata penuh menumpaskan Sarawak 4-2 dalam perlawanan itu.

Saravanan bahkan mencipta hatrik dengan jaringan pada minit ke-24, 32 dan 59 sementara pemenang Kasut Emas, Khalid turut menyumbang satu gol pada minit ke-55.

Dalam perlawanan itu, gol Sarawak dijaringkan oleh Robert Eshum dan Gilbert Gawing.

``Yusri Che Lah, Indera Putra Mahyuddin dan Ahmad Shahrul Azhar bertindak cemerlang di bahagian tengah dengan melakukan hantaran baik kepada Saravanan dan Khalid untuk menjaringkan gol,'' kata Netto di Ipoh, semalam.

Namun Netto agak terkilan apabila Khalid terlepas peluang menambah satu gol lagi setelah sepakan penalti yang diambilnya terkena tiang.

``Saya tidak tahu mengapa Khalid mengambil sepakan itu kerana dia cedera,'' ujar Netto.

Jurulatih dari Brazil itu memuji persembahan Sarawak tetapi kekebalan pertahanan Perak yang dibarisi oleh Syamsol Saad, Faizal Zainal, Chan Wing Hoong dan K. Nantha Kumar berjaya menidakkan hasrat pelawat mendapat tambahan gol.

Mengenai pemain import, Netto memberitahu, Carlos Alberto Moreira atau Caca akan mula menjalani latihan bersama para pemain Perak hari ini. Rakannya, Flavio Galvao dijangka tiba Rabu ini.

Beliau berkata, Perak tidak dapat menggunakan khidmat kedua-dua pemain itu apabila menentang Kelantan di Kota Bharu, Sabtu ini dan berharap Caca dan Flavio boleh diturunkan semasa menentang Perlis pada 8 Mac depan.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cctE8LYW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan