
ARKIB : 20/05/2001
PEMAIN Terengganu, Faziallah
Mamat (tengah) berebut bola dengan pemain Melaka, Amrie Abdullah pada
perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu, semalam. Terengganu menang 1-0. - Gambar ABD. RAHMAN
SALLEH.
TERENGGANU mengesahkan habuan
sebanyak RM40,000 selaku juara pusingan pertama bola sepak Liga Perdana Satu
menjadi miliknya selepas mengatasi Melaka 1-0 pada perlawanan di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.
Walaupun pusingan pertama masih
berbaki satu perlawanan _ menentang Johor pada 26 Mei ini_ kemenangan itu
meneruskan rentak kejayaan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah dan
meletakkan mereka di tangga teratas liga dengan 28 mata.
Pasukan tangga kedua, Kelantan
pula seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu walaupun
mendahului sebanyak dua kali.
Gol tunggal Terengganu
dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar seawal minit kedua
permainan setelah menyambar bola yang dikuis Subri Sulung di depan gawang
lawan.
Mohd. Hardi Ahmad dan Rosli Omar
menjaringkan gol untuk Kelantan pada minit ke-44 dan 60 (penalti) sementara gol
Pahang diperoleh menerusi Azmani Abdul Kadir minit ke-55 dan Azizul Kamaluddin
minit ke-82 (penalti).
Di Stadium Shah Alam, Selangor
meneruskan kebangkitan pada penghujung pusingan pertama ini apabila terus
merakam kemenangan, kali ini 3-0 ke atas Perlis.
Penyerang kebangsaan, Rusdi
Suparman menjaringkan dua gol pada minit ke-50 dan 89 dan satu gol lagi
dihasilkan Mohd. Nizaruddin Yusof minit ke-78.
Selangor kini semakin
melonjakkan diri dengan 15 mata mengatasi Negeri Sembilan yang tumpas kepada
Pulau Pinang di Paroi.
Di Stadium Perak, Ipoh, Khalid
Jamlus yang kembali beraksi selepas digantung gara-gara mencari hiburan
sehingga lewat malam semasa dalam kem latihan kebangsaan, menjaringkan hatrik
untuk membantu Perak menang besar 5-0 ke atas pasukan terbawah liga, Johor.
Khalid menjaringkan gol pada
minit ke-33, 54 dan 63 manakala satu gol masing-masing dijaringkan Syamsol Saad
(46) dan V. Saravanan (68).
Sementara itu, pasukan pelawat,
Pulau Pinang menundukkan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi sekali gus memberikan tekanan kepada pasukan di tangga kedua, Kelantan.
Pulau Pinang mendapat gol
pertama pada minit ke-14 menerusi Asmawi Hassan. Mohd. Aiman Wong menjadikan
kedudukan 2-0 pada minit ke-60.
Di Stadium KLFA, Cheras,
pasukan tuan rumah Kuala Lumpur sekadar mengutip satu mata selepas seri tanpa
jaringan dengan Sarawak.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bbJsRWEX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan