Ahad, 19 Mac 2017

Perak salahkan pengadil, penyerang

ARKIB : 25/10/2001
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
APA lagi yang boleh dikatakan oleh Perak selain menuding jari kepada pengadil dan barisan penyerangnya atas kekalahan 0-1 kepada Pahang dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Perak, kelmarin.

Bagi jurulatih M. Karathu, antara pengadil dan penyerangnya, tidak ada beza kerana keputusan kontroversi dan kegagalan mereka menjadi punca Perak gagal dalam misinya untuk mendapatkan bekalan terbaik sebelum bertandang ke Kuantan, Sabtu ini.

``Kita mengawal permainan tetapi gagal menjaringkan gol. Kegagalan barisan serangan nyata membawa padah kepada kami kerana segala yang dibuat serba tidak menjadi.

``Namun detik kekecewaan kami tiba ke kemuncak apabila pengadil memberikan sepakan sudut kepada Pahang sehingga terhasilnya gol tunggal perlawanan. Saya tidak mempertikaikan keputusan pengadil, tetapi itulah yang terpaksa kami terima, ujarnya selepas perlawanan kelmarin.

Menurut Karathu, penjaga golnya mengaku tidak menyentuh bola tetapi pengadil dari Selangor, Danny Ong terus memberikan sepakan sudut walaupun dibantah pemain dan pengurus pasukan Perak.

Katanya, Perak masih belum berputus asa kerana kelebihan satu gol bukan lesen bagi Pahang untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir tetapi hanya kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, pihaknya akan menghantar bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan badan induk itu mengkaji semula keputusan pengadil perlawanan.

Katanya, tidak timbul soal Perak mempertikaikan keputusan pengadil tetapi apa yang diharapkan ialah keadilan dalam usahanya mengubat kekecewaan penyokong Perak yang berdiri teguh di belakang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmSuT8Mg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan