ARKIB : 08/04/2002
WALAUPUN terpaksa menunggu
sehingga pengadil menghadiahkan sepakan penalti bagi mengesahkan Perak sebagai
juara pusingan pertama Liga Perdana Satu, namun jurulatihnya, Tony Netto tetap
berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
Tony yang kelihatan cemas
sepanjang 90 minit permainan berlangsung, pantas mengukir senyuman dan
berpeluk-pelukan dengan pemain serta pengurusan pasukan sebaik wisel penamat
dibunyikan.
Ini kerana di sebalik rungutan
peminat yang kecewa dengan persembahan skuad Seladang ketika menentang Sabah,
pada hakikatnya Perak adalah juara dan telah menggondol hadiah RM40,000.
Tony ketika ditemui berkata,
beliau berpuas hati dengan kemenangan di Stadium Perak itu kerana hanya
meletakkan sasaran tiga mata pada setiap perlawanan.
Katanya, adalah tidak berguna
di dalam perlawanan yang genting seperti kelmarin, Perak terlalu ghairah untuk
mencipta kemenangan besar dan bergaya tetapi akhirnya kecundang.
``Bagi saya satu gol sudah
cukup dan yang penting Perak menang dan matlamat untuk menjuarai pusingan
pertama telah tercapai,'' katanya.
Perak menang tipis 1-0 pada
perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Sabah di hadapan kira-kira
30,000 penonton yang membanjiri Stadium Perak.
Gol kemenangan diperoleh
melalui sepakan penalti V. Saravanan pada minit ke-63, setelah dia dijatuhkan
oleh Jelius Ating di dalam kotak penalti.
Tony tidak menyalahkan
kesebelasan pemainnya yang tidak memberi persembahan terbaik, sebaliknya
memberi asalan faktor jadual perlawanan yang terlalu ketat menyebabkan anak
buahnya keletihan.
``Anak buah saya terpaksa
bermain tiga perlawanan di dalam tempoh tujuh hari dan ini tidak berlaku di
dalam liga bola sepak yang terkenal dan lebih mencabar seperti di Itali atau di
Jerman,'' katanya di Ipoh semalam.
Mengulas persembahan Faizal
Zainal yang diletakkan di posisi tengah pertahanan bagi menggantikan Jasko
Farac yang cedera, Tony berkata, Faizal cukup serasi dengan peranan baru itu.
``Ini pertama kali Faizal
diletakkan di posisi itu dan dia cukup berkesan di dalam mematahkan serangan
lawan,'' katanya.
Pada perlawanan malam semalam,
Perak turun tanpa kesebelasan utama berikutan penyerang utama, Khalid Jamlus
mengumpul kad kuning kedua dan penyerang simpanan, Norizam Ali Hassan serta
penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad pula tercedera.
Kedudukan itu menyebabkan Skuad
Seladang ketandusan pemain di posisi serangan dan pertahanan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4c4WvPZsu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan