Jumaat, 31 Mac 2017

Perak sambar RM40,000 - Aksi penjaga garisan cetus kecoh di Kota Bharu



ARKIB : 30/04/2003
PEMAIN Kelantan (berjersi merah) membantah keputusan pengadil yang tidak mengiktiraf jaringan gol ketiga pasukan itu dalam pertemuan Liga Perdana Satu menentang Perlis di Stadium Sultan Mohamed Iv, Kota Bharu, semalam. Keadaan ini hampir mencetuskan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan. - Gambar ROSNI MASRI.

PERAK menyambar habuan RM40,000 selaku juara pusingan pertama bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah, semalam.

Selepas V. Saravanan melakukan hatrik ketika menentang Selangor Sabtu lalu, kali ini giliran Mohd. Khalid Jamlus menjaringkan tiga gol untuk membantu Perak terus gagah di tangga teratas liga.

Perak kini mengumpul 27 mata selepas 12 perlawanan di tempat teratas, tiga mata di depan pasukan tangga kedua, Perlis yang seri 2-2 di Kelantan dan meraih RM30,000.

Jaringan Khalid diperoleh pada minit ke-39, 53 dan 61 manakala dua gol Melaka dijaringkan oleh Mohd. Fauzzi Kassim (11) dan Mohd. Suffian Samsul Bahri (57).

Aksi di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu disulami kontroversi pada babak akhir perlawanan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga waktu kecederaan tetapi Kelantan mendapat `gol kemenangan' yang tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.

Jaringan Mohd. Hardi Ahmad tidak dikira selepas penjaga garisan, Mohd. Saat Hassan lebih dahulu mengangkat bendera kerana pemain itu berada dalam posisi ofsaid.

Bagaimanapun, pasukan Kelantan mendakwa seorang pemain Perlis masih berada dalam kotak penalti dan Hardi tidak berada dalam posisi ofsaid.

Jaringan Hardi pada mulanya disahkan oleh pengadil perlawanan, Danny Ong Kim Heng tetapi beliau kemudian membatalkannya selepas berunding dengan Mohd. Saat.

Pemain Kelantan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu menyerbu Danny dan Mohd. Saat, malah pergaduhan hampir tercetus antara kedua-dua pasukan.

Setelah bermesyuarat hampir dua jam, jawatankuasa perlawanan akhirnya memutuskan perlawanan itu seri 2-2.

Keputusan itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penyokong Kelantan yang bertindak membaling botol ke arah pemain Perlis.

Sebelum insiden itu, Kelantan mendahului 2-0 hasil jaringan Khairul Zal Azmie pada minit ke-47 dan Mohd. Hardi pada minit ke-59.

Perlis menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil tandukan cantik Phillimon Chipeta dan pemain import itu menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-69.

Kedah gagal mengekalkan kedudukan tangga kedua selepas tewas 2-0 kepada Sabah di Stadium Darulaman, Alor Star untuk meraih RM27,500.

Josiah Seton dan Shahril Arsat menjadi pemusnah harapan Kedah dengan jaringan masing-masing pada minit ketujuh dan 12.

Sarawak pula melonjak ke tangga keempat untuk meraih RM25,000 selepas menang selesa 3-0 ke atas Terengganu di Stadium Sarawak di Kuching.

Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Robert Eshun minit ke-27 dan 29 dan Ramos Sari 71.

Pahang meraih habuan RM20,000 di tempat kelima walaupun tumbang 2-1 kepada Telekom Melaka di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-43 menerusi jaringan Isaac Kuffour tetapi Cristiano Pinheiro Da Silva menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Bagaimanapun, keriangan Pahang tidak lama apabila Faizal Esahar menjaringkan gol kemenangan Telekom Melaka pada minit ke-60.

Di Stadium Shah Alam, Selangor mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan menewaskan Johor FC 1-0 menerusi jaringan Shahrin Majid pada minit ke-32.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuPCtF8r© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan