ARKIB : 30/10/2001
Oleh ZAIDI AWANG HAMAT
SETELAH berjaya menempatkan
diri dalam empat pasukan terbaik Piala Malaysia musim ini, Kelantan mula
membayangkan hasrat untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih kuat dan mantap
musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata, untuk tujuan itu beberapa
pemain baru dijangka dibawa masuk untuk mengatasi kelemahan khususnya di
barisan serangan dan tengah pasukan Kelantan.
Katanya, jurulatih Kelantan, K.
Rajagopal telah diarahkan supaya membuat penelitian terhadap para pemain yang
difikirkan sesuai oleh jurulatih berkenaan.
``Memang kita telah minta
Rajagopal agar membuat pemerhatian khusus bagi membawa masuk pemain untuk
mengatasi kelemahan di bahagian tengah dan serangan,'' katanya ketika dihubungi
Sukan Utusan, semalam.
Musim ini Kelantan yang musim
pertama beraksi dalam saingan Perdana Satu telah layak ke peringkat separuh
akhir Piala Malaysia tetapi tewas kepada Terengganu dengan agregat 3-1.
Kelantan juga berjaya menduduki
tangga ketiga liga perdana satu musim ini di belakang Pulau Pinang dan
Terengganu.
Mengenai pencapaian Kelantan,
Wan Hashim berkata, beliau amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan
oleh kesemua pemain hingga layak ke separuh akhir.
Katanya, berdasarkan tempoh
satu musim sahaja beraksi dalam perdana satu, kejayaan Kelantan musim ini
begitu memberansangkan.
``Kejayaan tahun ini begitu
membanggakan bukan sahaja kepada pihak KAFA, tetapi lebih utama kepada para
penyokong setia pasukan yang memberi sokongan padu sebelum ini,'' katanya.
Beliau berkata, sokongan
penonton terutama ketika perlawanan suku akhir dan separuh akhir lalu memberi
perangsang kepada KAFA untuk membentuk pasukan lebih mantap musim depan.
Bagaimanapun beliau tidak
menafikan komitmen serta kesungguhan kesemua pemain musim ini hingga berjaya
layak ke separuh akhir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bmgES3y6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan