Sabtu, 25 Mac 2017

Pulau Pinang tewas di Penampang - Perak raih pingat emas bola sepak



ARKIB : 14/09/2002
SKUAD bola sepak Perak meraikan kejayaan muncul juara Sukma IX selepas menumpaskan Pulau Pinang 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Penampang, Sabah semalam.

Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK dan A. JAILANI ABDULLAH
PEMAIN sayap kanan, S. Tanabalan harus dijulang selaku wira Perak selepas dua gol jaringannya membantu pasukannya mengecewakan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan akhir bola sepak Sukma IX Sabah di Penampang, semalam.

Tanabalan berhak mendapat pujian apabila menjaringkan gol dalam tempoh dua minit.

Gol ketiga pasukan bimbingan jurulatih, Mohd. Salim Abdul Wahab itu disempurnakan R. Surendran, juga hasil kelincahan Tanabalan.

Kekalahan Pulau Pinang sekali gus memaksa skuad Pulau Mutiara bergelar naib juara buat kali kedua berturut-turut.

Minit-minit awal permainan merupakan babak penguasaan Pulau Pinang. Setelah tewas kepada Pahang di tempat sendiri dua tahun lepas, mereka seperti mampu mengubah nasib itu apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi jaringan Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim.

Bagaimanapun, jaringan itu umpama menjolok sarang tebuan apabila Perak bangkit terutama pada babak kedua.

Selepas Surendran hampa dengan dua percubaan tepat pada awal babak kedua akibat ketangkasan penjaga gol lawan, Perak memulakan kebangkitan minit ke-64.

Pemain gantian, Mohd. Khairul Naib mencetus gerakan menghasilkan gol penyamaan apabila membuat hantaran lintang ke depan pintu gol yang disambut oleh Tanabalan dengan tandukan ke penjuru kiri.

Ketika Pulau Pinang masih belum reda daripada kejutan pertama, Perak menggunakan kesempatan untuk memperoleh gol kedua, kali ini mencuri peluang daripada kesilapan barisan pertahanan lawan dan Tanabalan menghukumnya dengan jaringan pada minit ke-64.

Selepas mencuri bola daripada kaki lawan, dia menggelecek seorang pemain sebelum merembat dan sekali lagi penjuru kiri menjadi sasarannya untuk menewaskan penjaga gol, Shahrul Izrad Ismail.

Jaringan itu menambah semangat skuad Yeop yang menyusun lagi gerakan ke kubu lawan.

Surendran yang beraksi berseorangan di hadapan akhirnya menemui sentuhan gol minit ke-83 apabila menyepak masuk bola hantaran lintang Tanabalan.

``Kami memang yakin untuk menang. Sebab itu pemain-pemain kami tidak patah semangat walaupun ketinggalan terlalu awal,'' kata Mohd. Salim.

Jurulatih Pulau Pinang, Mohd. Nazir Adanan mengakui barisan pemain pertahanannya membuat kesilapan yang membantu Perak memperoleh dua gol mudah.

``Pemain-pemain saya juga tertekan. Mereka sepatutnya bermain penuh semangat setelah memperoleh gol pendahuluan,'' jelasnya.

Sementara itu juara Piala Presiden, Negeri Sembilan menewaskan Kedah 3-2 untuk meraih pingat gangsa, terima kasih kepada R. Yosri Derma yang menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan.

Negeri Sembilan yang kalah 2-1 kepada Pulau Pinang pada separuh akhir memperoleh dua lagi gol menerusi Mohd. Fairuz Ezwan Mohd. Zaini (minit 24) dan Mohd. Saiful Adli Mohammad (43).

Kedah pula membalas menerusi Syed Faisal Syed Sobri (37) dan Mohd. Al-Hafiz Hamzah (70).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cKkv2zwp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan