ARKIB : 11/10/2001
PERAK akhirnya melepasi
halangan peringkat kumpulan untuk meneruskan usaha mempertahankan gelaran juara
bola sepak Piala Malaysia.
Nasib nyata mengiringi kemraan
skuad Seladang itu, setelah satu lagi pasukan, TNB Kelantan yang merupakan
saingan terdekatnya dalam kumpulan C tersingkir hanya disebabkan perbezaan
jumlah jaringan gol.
Namun, Perak melangkah dengan
bergaya setelah menundukkan Terengganu 3-0 di tempat sendiri untuk mengumpul 10
mata.
TNB Kelantan turut mengumpul 10
mata dengan kemenangan 3-1 ke atas JKR Kelantan.
Turut bernasib baik ialah
Kelantan yang layak walau pun tewas 1-0 kepada Pahang. Kelantan terikat tujuh
mata dengan NS Chempaka tetapi pesaingnya dalam kumpulan B itu tewas 2-1 kepada
Sarawak, bermakna ketinggalan satu gol kepada Kelantan.
Tiga lagi pasukan yang turut
layak melalui perlawanan kelmarin ialah Selangor Pahang dan Perlis yang
mencatatkan kemenangan 2-1 di Kangar.
Tiga pasukan lebih awal
menempah tempat ke suku akhir iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan juara
Perdana Satu, Pulau Pinang.
Sementara itu, harapan untuk
menyaksikan pasukan kelab terus memberikan saingan terpadam setelah Johor FC,
NS Chempaka, TNB Kelantan, JKR Kelantan dan JKR Kedah gagal melepasi saingan
peringkat kumpulan masing-masing.
Tahun lepas, Johor FC mencipta
sejarah dengan layak ke suku akhir, tetapi gagal diulangi setelah hanya menang
dua kali seri sekali dan kalah tiga kali.
Peringkat suku akhir yang
bermula Selasa depan sudah pasti tambah menarik apabila Perak pasukan yang
dikalahkannya pada perlawanan akhir tahun lepas, Negeri Sembilan.
Juara terbanyak, Selangor pula
akan bersaing dengan naib juara Perdana Satu, Terengganu manakala Pahang
dilihat agak selesa setelah hanya berdepan dengan Perlis.
Pulau Pinang yang menjadi
pasukan pilihan kali ini bagaimanapun dilihat menempuh laluan sukar kerana
terpaksa berdepan dengan Kelantan yang memiliki pemain-pemain bersemangat waja.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4blOnhBlE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan