ARKIB : 05/04/2003
JUARA Liga Perdana Satu, Perak
akan menyambut kunjungan Johor FC di Ipoh pada Selasa ini dengan barisan
terkuat setelah lima pemain utamanya pulih daripada kecederaan, lapor
Kamaruddin Ismail.
Jurulatih, Toni Netto lega
apabila Ahmad Shahrul Azhar, V. Saravanan, Syamsol Saad, Noraffendy Mohd Yatim,
Yusri Che Lah dan Khalid Jamlus mampu beraksi sepenuh masa.
Selain itu, K. Nantha Kumar yang
beraksi di bahagian tengah boleh beraksi semula selepas menjalani penggantungan
satu perlawanan minggu lalu.
``Saya gembira Perak dapat
melepasi suasana yang getir sepanjang dua minggu lalu dengan mempertahankan
rekod tanpa kalahnya,'' kata Netto di Ipoh semalam.
Netto mengakui skuad Seladang
meniti saat-saat getir dengan perasaan cemas apabila kelima-lima pemain
utamanya itu mengalami kecederaan yang silih berganti.
Katanya, kecederaan mereka menyebabkan
Perak mempamerkan persembahan terburuk apabila bertemu dengan Pahang di Ipoh 25
Mac lalu tetapi bernasib baik dengan mencatat kemenangan tipis 1-0.
Jurulatih itu memberitahu, dia
terpaksa menurunkan Yusri, Khalid dan Syamsol walaupun mereka kurang cergas
dalam beberapa perlawanan bagi menyelamat skuad Seladang daripada terus
tempang.
``Kini saya boleh melakukan
percaturan bagi menentukan kesebelasan utama kerana pemain tidak menghadapi
sebarang masalah kecederaan atau menjalani penggantungan,'' ujar Netto.
Namun, jurulatih dari Brazil itu
bimbang anak buahnya membuat andaian yang salah terhadap kekuatan skuad Johor
FC dengan bermain sambil lewa.
Johor FC berjaya menundukkan
Perak 1 - 0 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Satu tahun lalu di Johor
Bahru dan dalam pusingan kedua, skuad Seladang menang 1-0.
``Saya berharap para pemain tidak
memandang rendah keupayaan Johor FC dan akan beraksi dengan
bersungguh-sungguh,'' tambah Netto.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4coogvfbo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan