ARKIB : 01/05/2002
Ahmad Shahrul Azhar memastikan
Perak terus berada di landasan kejayaan setelah menghasilkan gol tunggal perlawanan
ketika Perak menumpaskan Terengganu 1-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah,
semalam.
Jaringan seawal minit kelima
perlawanan oleh pemain tengah kebangsaan itu berhasil dilakukannya menerusi
gerakan solo, sekali gus mengesahkan kemenangan ke-12 Perak dengan 38 mata.
Tetapi, kemenangan Perak terus
diekori oleh Selangor yang menang 4-1 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah,
terima kasih kepada dua gol oleh Yusri Che Lah.
Selangor hanya mendahului 1-0
menerusi gol Yusri pada minit ke-19 sebelum menguasai sepenuhnya permainan pada
babak kedua.
Mohd. Shukor Adan menambah gol
kedua pada minit ke-49 dan Mohd. Farid Shah Hassan meletakkan pasukannya
mendahului 3-0 pada minit ke-55 sebelum Yusri menjaringkan gol kedua peribadi
pada minit ke-81.
Melaka yang terlepas peluang
untuk memberikan saingan setelah Tuan Rosli Tuan Shahril gagal menyempurnakan
sepakan penalti, hanya berdaya membalas menerusi sepakan percuma Abeliouny
Salah pada minit ke-83.
Sementara itu Johor FC
menggunakan kelebihan bermain di dalam hujan lebat pada babak kedua untuk
mencipta kejutan ke atas pasukan tangga ketiga , Pulau Pinang dengan kemenangan
3-0 di Stadium Pasir Gudang.
Gol-gol Johor FC disumbat oleh
Eddy Helmi Abd Manan pada minit ke-40 dan 55. Jonathon Angelucci menyumbat gol
terakhir perlawanan pada minit ke-66.
Sementara itu, Sabah mempamerkan
aksi bergaya apabila membenam pasukan pelawat, Sarawak 2-1 di Stadium
Penampang, Kota Kinabalu, semalam.
K. Sanbagamaran dan Shahrin Abd.
Majid memastikan skuad Badak mengutip tiga mata penuh apabila mencipta gol pada
minit ke 42 dan 59 perlawanan. Sarawak membalas melalui Ramos Sari pada minit
ke-79.
Sementara itu, Pahang berkenduri
gol dengan membelasah Negeri Sembilan 8-0 di di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pemain import Pahang, Melnikov
Viatcheslav dari Rusia mencipta hatrik pada minit ke-29, 38 dan 75. Lima lagi
gol disumbang oleh Juzaili Samion pada minit ke-17, Jalaluddin Jaafar (48),
Azizul Kamaluddin (65), Hairul Nizam Hanif (68) dan Hairul Nizam Man (84).
Sementara itu, dua lagi
perlawanan berkesudahan seri tanpa ja-ringan. Perlis berkongsi mata dengan
Kelantan di Stadium Utama, Kangar sementara NS Chempaka terikat dengan pasukan
tangga tercorot Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sementara itu, MPPJ Selangor
menundukkan Tentera 2-0 dalam perlawanan Perdana Dua di Stadium Petaling Jaya.
Perlawanan itu terpaksa dilangsungkan semalam setelah hujan lebat memaksa
pengadil menunda pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c9DBpquO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan