Sabtu, 11 Mac 2017

Perak capai kemuncak tepat pada masanya

ARKIB : 17/10/2000
PERAK mencapai puncak prestasi pada waktu yang tepat untuk menewaskan Negeri Sembilan, kata Ahmad Shahrul Azhar yang dipilih Pemain Terbaik perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia kelmarin. Ketua pasukan Perak itu juga melihat perkara sebaliknya melanda pasukan lawan, Negeri Sembilan yang menurutnya memuncak terlalu awal dan persembahan mereka menurun pada perlawanan akhir kelmarin.

''Kami mencapai kemuncak tepat pada masanya iaitu pada perlawanan akhir,'' kata Shahrul di Shah Alam semalam.

''Saya melihat Negeri Sembilan pula mecapainya lebih awal dan menunjukkan kemerosotan persembahan apabila beraksi menentang kami,'' jelasnya.

Perak menguasai hampir keseluruhan permainan untuk menewaskan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Khalid Jamlus dan V. Saravanan, kedua-dua gol pada babak kedua perlawanan.

Shahrul, 26, berkata Perak mula mendaki untuk mencapai puncak tertinggi prestasi pada peringkat separuh akhir dengan juara Liga Perdana Satu, Selangor yang mereka menangi dengan agregat 4-2.

Perak kecundang 2-1 pada separuh akhir pertama di Shah Alam tetapi bangkit bergaya apabila menewaskan Selangor 3-0 di Ipoh pada pertemuan ulangan.

Negeri Sembilan pula menyingkirkan Sarawak dengan kemenangan 2-1 pada kedua-dua pertemuan separuh akhir.

Shahrul juga berkata, skuad Rusa kelihatan terlalu yakin turut memudahkan Perak menewaskan mereka di semua posisi.

Shahrul yang mengemudi skuad Seladang dari bahagian midfield bersama Azrul Amri Burhan berjaya merencana pergerakan dengan baik sementara bahagian pertahanan pula mengawal ketat penyerang berpengalaman, Azman Adnan dari meloloskan diri.

Khalid dan Saravanan lincah di bahagian depan untuk memaksa tonggak benteng lawan, Khairul Anuar Baharum dan penjaga golnya, Mohd. Hamsani Ahmad bekerja keras mengekang asakan dan percubaan kedua-dua penyerang itu.

Ketua pasukan Negeri Sembilan, Khairul Anuar memuji persembahan cemerlang Perak yang menurutnya layak keluar selaku juara.

''Perak berhak menang kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan kelmarin,'' katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa kekalahan Negeri Sembilan berpunca dari perasaan gemuruh yang melanda rakan-rakan sepasukannya yang kali pertama merasai pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir.

Hanya Khairul Anuar dan penyerang yang dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan, Azman yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b5ViHbQh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan