ARKIB : 02/07/2002
Perak hanya selangkah sahaja lagi
untuk mengukir sejarah tersendiri menjulang kejuaraan Perdana Satu buat pertama
kali, dengan perlawanan menentang NS Chempaka malam ini bakal memberi kejayaan
itu.
Skuad Seladang hanya memerlukan
satu mata untuk meraih gelaran itu biarpun kempen liga masih berbaki dua
perlawanan.
Dengan 57 mata daripada 24
perlawanan, Perak mendahului seteru terdekat, Selangor dengan kelebihan lima
mata.
Keputusan seri sudah memadai buat
Perak dalam pertarungan dengan NS Chempaka di Paroi malam ini tetapi jika Perak
tewas dan Selangor pula merakam kemenangan ke atas Pahang di Kuantan, kejuaraan
akan ditentukan pada perlawanan terakhir.
Hanya dua pasukan itu yang
berpeluang untuk merangkul kejuaraan liga. Pasukan tangga ketiga, Sabah jauh di
belakang dengan 46 mata.
Begitupun, pertarungan dua
pasukan itu masih berliku kerana masing-masing bermain di gelanggang lawan.
NS Chempaka, biarpun peluang
untuk beraksi dalam Piala Malaysia agak cerah, pasti mahu mengutip mata untuk
menjarakkan kedudukannya di tangga ke-12 dengan dua pasukan terbawah, Negeri
Sembilan dan Kuala Lumpur.
Selain itu, NS Chempaka pasti
berazam untuk cuba menyekat Perak daripada berpesta lebih awal.
Selangor pula bakal dihalang
Pahang yang turut mahu mencatat kemenangan di tempat sendiri.
Perlawanan di Paroi malam ini
dijangka memihak kepada Perak yang masih kebal dengan rentak kemenangan dan
lawan pula jika dilihat di atas kertas, tidak memberikan masalah.
Sedang Perak bertarung dengan
Selangor untuk menentukan juara liga, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur berentap
di Cheras untuk masing-masing mengelak daripada menduduki tangga tercorot.
Kelantan pula menunggu kehadiran
Sarawak di Kota Bharu manakala Perlis melayan kunjungan Pulau Pinang di Kangar.
Johor FC yang agak garang pada
awal kempen, pasti tidak mahu tergelincir jauh di pertengahan liga dan perlu
mengatasi Melaka di Pasir Gudang manakala Sabah berentap dengan Terengganu di
Penampang.
Apa pun, mungkin bahang Piala
Dunia yang telah berakhir kelmarin, ditempiaskan kepada perlawanan liga
tempatan yang diharap dapat menyambung kehangatan itu.
KEDUDUKAN PERDANA SATU
P M S K J K M
Perak 24 18 3 3 39 13 57
Selangor 24 16 4 4 39 24 52
Sabah 24 13 7 4 44 25 46
P. Pinang 24 12 7 5 42 29 43
Terengganu 24 13 3 9 31 20 39
Johor FC 23 11 4 8 33 24 37
Perlis 24 10 7 7 26 19 37
Sarawak 24 7 10 7 34 24 31
Pahang 23 7 6 10 40 36 27
Kelantan 24 8 3 13 26 37 27
Melaka 24 7 3 14 26 46 24
NS Chempaka 24 4 7 13 21 44 19
N. Sembilan 24 4 5 16 25 58 16
Kuala Lumpur 24 3 4 17 20 46 13
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cDVAmBC9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan