ARKIB : 09/10/2000
KATA-kata sinis jurulatih
Perak, Karl Heinz Weigang sebelum perlawanan bahawa Selangor bukan ancaman atau
penghalang kepada pasukannya untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia
ternyata benar.
Ini jelas dibuktikan dengan
kejayaan Perak menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di
tempat sendiri kelmarin sekali gus melayakkan diri ke akhir menerusi kemenangan
agregat 4-2.
Apa yang pasti, kepakaran dan
keyakinan Weigang dalam mengatur strategi merupakan rahsia kejayaan Perak dalam
perlawanan yang disaksikan 35,000 penonton itu.
''Apa yang perlu saya lakukan
ialah melumpuhkan bahagian tengah dan pertahanan Selangor dan ia berjaya
dilakukan pemain saya dengan baik.
''Mereka menguasai sebahagian
besar posisi penting itu walaupun mendapati kubu Selangor sukar ditembusi.
Ternyata taktik bertahan Selangor memakan diri,'' ujarnya.
Sehubungan itu bagi Weigang,
segala pujian perlu diberi kepada anak buah bimbingannya kerana mempamerkan permainan
terbaik mereka pada musim ini.
Katanya, hasil tekanan
berterusan pemainnya berjaya memaksa barisan pertahanan Selangor melakukan
kesilapan demi kesilapan yang tidak seharusnya berlaku dalam perlawanan penting
seperti ini.
Malah katanya, penguasaan di
bahagian tengah berjaya menghalang Selangor melakukan serangan balas pantas
untuk mendapatkan gol.
Mengenai gol awal Selangor
jaringan K. Sanbagamaran yang dibatalkan pengadil selepas 58 saat permainan
bermula, Weigang berkata, jika gol itu disahkan, ia mungkin memberi tekanan
lebih besar kepada pemainnya untuk mencari kemenangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4b4Bcv9RR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan