ARKIB : 28/05/2002
SELEPAS berehat dua minggu untuk
memberi laluan kepada pasukan kebangsaan menentang Brazil Sabtu lalu,
pertarungan bola sepak Liga Perdana Satu kembali disambung malam ini.
Perak, yang melepaskan tiga
tonggak utamanya, penyerang Khalid Jamlus, Ahmad Shahrul Azhar dan Indra Putra
Mahayuddin untuk aksi menentang Brazil itu, kembali menumpukan buruan menjulang
kejuaraan liga musim ini.
Sehingga 18 daripada 26
perlawanan liga yang telah diharungi, Perak gagah di tempat teratas dengan 44
mata selepas meraih 14 keme-nangan dan dua seri.
Skuad Seladang hanya dipisahkan
dengan lima mata dengan pasukan tangga kedua, Selangor yang memungut 39 mata
daripada 12 kemenangan dan tiga seri.
Jika meneliti kedudukan pasukan
tempat ketiga, Perlis yang ketinggalan lapan mata di belakang, pertarungan
merebut kejuaraan liga setakat ini hanya membabitkan dua pasukan teratas itu.
Selangor tidak harus mencatat
kekalahan dalam tempoh penting ini jika mahu terus memberi saingan kepada
Perak.
Selain perlu mencatat kemenangan
ke atas Sarawak di Kuching malam ini, Red Giants harus mengintai keputusan
perlawanan Perak dengan Pulau Pinang di Batu Kawan.
Merapatkan jurang mata dengan
Perak harus menjadi misi utama Selangor, yang memiliki Azmin Azram Aziz yang
beraksi cemerlang semasa mengawal gawang negara menentang Brazil.
Tiga pasukan, Perlis, Sabah dan
Pulau Pinang berentap untuk merampas kedudukan tangga ketiga.
Perlis dengan 31 mata di tempat
ketiga, harus menggunakan peluang untuk mengekalkan tempat apabila melayan
kunjungan Pahang di tempat sendiri
Tetapi Sabah yang hanya satu mata
di belakang Perlis, agak sulit untuk memungut tiga mata kerana harus melepasi
pasukan kental, Kelantan di gelanggang lawan.
Manakala Pulau Pinang (29 mata)
hanya mengharapkan sokongan penyokong sendiri untuk menafikan kemaraan Perak.
Johor FC, Terengganu dan Kelantan
yang berada di pertengahan kedudukan liga, pasti berusaha untuk
sekurang-kurangnya melepasi kelayakan ke Piala Malaysia.
Johor FC bertandang ke Cheras
bertemu pasukan tangga kedua terbawah, Kuala Lumpur manakala Terengganu
dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi pasukan tercorot liga, Negeri
Sembilan di Kuala Terengganu.
Di Paroi, NS Chempaka perlu
menang ke atas Melaka untuk menjarakkan diri daripada dua pasukan terbawah.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCqJe6jA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan