ARKIB : 17/10/2002
TIGA pasukan, Selangor, Perak dan
Kedah, yang mempunyai catatan cemerlang dalam sejarah pertandingan bola sepak
Piala Malaysia meletakkan diri masing-masing pada laluan selesa untuk
melebarkan rekod masing-masing setelah tamat aksi separuh akhir pertama kelmarin.
Kedah pernah muncul sebagai
antara pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia apabila muncul pada
perlawanan akhir sebanyak enam kali dalam tempoh tujuh tahun sehingga 1993.
Mereka memenangi dua daripadanya
iaitu pada 1990 dan 1993 dan menjadi naib juara pada 1987, 1988, 1989 dan 1990.
Pada tahun 1992, Kedah
tergelincir ke Perdana Dua tetapi kekecewaan itu ditebus dengan muncul sebagai
juara berganda pada tahun 1993.
Ketika ini, juara Perdana Dua itu
muncul sebagai pasukan paling hampir dengan separuh akhir apabila membelasah
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 5-1 Alor Star. Mereka dijangka tidak
akan menghadapi kesukaran untuk mengutip kemenangan lagi pada suku akhir kedua
apabila bertandang ke Stadium Petaling Jaya Sabtu ini.
Juara Perdana Satu, Perak juga
kelihatan berada pada landasan betul untuk kembali menjadi juara Piala Malaysia
yang mereka rangkul buat kali terakhir dua tahun lepas.
Kelmarin, Perak membalas dendam
kepada Pulau Pinang, yang mengecewakan mereka pada aksi akhir Piala Malaysia,
dengan kemenangan 2-1 di tempat lawan.
Keputusan itu sekali gus
meletakkan Pulau Pinang menghampiri sejarah pahitnya setelah tersingkir pada
suku akhir dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Namun, kelebihan hanya satu gol
sudah tentu belum mampu mententeramkan sedikit jurulatih Perak, Tony Netto dari
Brazil.
Bagi pasukan Selangor, Piala
Malaysia menjadi buruan terakhir mereka setelah terlepas dua sasaran awal tahun
ini - Piala Liga Perdana Satu dan Piala FA.
Perak pernah muncul juara piala
paling berprestij ini sebanyak tujuh kali iaitu pada 1926, 1931, 1957, 1967,
1970, 1998 dan 2000.
Selangor, yang memegang rekod
menang Piala Malaysia sebanyak 28 kali, jelas bernasib baik di Shah Alam
kelmarin apabila berhasil juga memperoleh kemenangan ke atas Pahang dalam
tempoh 10 minit terakhir, terima kasih kepada Yusri Che Lah dan Azman Adnan
yang masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-82 dan 90.
Kali terakhir Selangor muncul
juara ialah pada 1997, secara kebetulannya menundukkan Pahang 1-0 dengan
jaringan emas di Stadium Shah Alam.
Sementara itu, Sabah menggunakan
sepenuh kesempatan bermain di gelanggang sendiri untuk menundukkan Public Bank
2-0.
Daripada empat pasukan yang
menang kelmarin, hanya Sabah yang belum pernah mengecapi nikmat muncul juara
Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cNk6OkvE©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan