ARKIB : 19/10/2002
PERAK tidak menganggap bekal satu
gol yang diperoleh ketika bertandang di gelanggang lawan pada perlawanan
pertama suku akhir Piala Malaysia sebagai satu kelebihan ketika berdepan Pulau
Pinang, malam ini, lapor BORHAN ABU SAMAH
Bahkan pasukan dari Pulau Mutiara
itu tetap dianggap terlalu liat untuk dijinakkan walaupun bermain di gelanggang
sendiri dengan sorakan penyokong sendiri.
Lantaran itu, Pengurus Pasukan,
Datuk Jamal Nasir Rasdi tidak mahu para pemain Skuad Seladang terleka dibuai
mimpi indah di Stadium Batu Kawan, Selasa lepas, membenam Pulau Pinang 2-1.
``Kita tidak boleh anggap satu
gol sebagai satu kelebihan, kalau kita anggap itu kelebihan, kita akan
bersenang dan ini membahayakan pasukan,'' katanya di Ipoh, semalam.
Jamal Nasir tetap menganggap
skuad Harimau Kumbang sebagai pasukan yang cukup liat dan sering memberi
masalah kepada skuad Seladang.
``Esok (hari ini), kita jangkakan
Pulau Pinang bermain secara terbuka kerana perlawanan ini menentukan hidup atau
mati peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya,'' katanya.
Oleh itu, kata beliau, pasukan
Perak perlu mengimbangi rentak Pulau Pinang bagi mengekang setiap pergerakan
pemain lawan.
``Saya berharap benteng
pertahanan akan mengulangi prestasi cemerlang ketika beraksi di Stadium Batu
Kawan yang menyaksikan jentera serangan Pulau Pinang sukar mencipta peluang,''
katanya.
Mengenai ketiadaan ketua pasukan,
Ahmad Shahrul Azhar dan pemain pertahanan, Rushanizam Idrus pada perlawanan
penting itu kerana mengutip dua kad kuning, Jamal Nasir berkata, Perak
mempunyai perancangan lain.
Katanya, pemain pertahanan,
Syamsol Saad akan memikul tugas sebagai ketua pasukan kerana dia adalah pemain
paling senior dan mempunyai kewibawaan memimpin pemain lain.
Di posisi tengah pula Perak
mempunyai beberapa pilihan termasuk meletakkan pemain serba boleh, Indra Putra
Mahiyuddin, manakala di posisi serangan kehadiran semula penyerang sensasi,
Khalid Jamlus akan memantapkan kembali barisan kesebelasan Perak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cNlOs2Ay
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan