Ahad, 19 Mac 2017

Terengganu, Perak ke akhir


 

ARKIB : 28/10/2001
PENYERANG Perak, Azrul Amri Burhan meraikan kejayaannya menjaringkan gol kedua Perak ketika menentang Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam. Perak menang 3-0 untuk layak ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1.

Oleh: A. HAFIZ AHMAD
PERLAWANAN akhir bola sepak Piala Malaysia edisi ke-35 menemukan sekali lagi dua finalis musim 1998, Perak dan Terengganu apabila masing-masing berjaya mengatasi lawan pada babak separuh akhir, semalam.

Perak yang juga juara bertahan kempen ini, membuat kejutan apabila menang bergaya 3-0 ke atas Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan selepas ketinggalan agregat 1-0 pada separuh akhir pertama di Ipoh.

Manakala Terengganu seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu untuk melangkah ke akhir dengan agregat 3-1. Penyu menang 2-0 di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 November ini bakal menjadi kali kedua berturut-turut menemukan Perak dan Terengganu.

Aksi akhir musim 1999 dan 2000 sebelum ini dilangsungkan di Stadium Shah Alam. Dalam aksi akhir pada 1998, Perak muncul juara Piala Malaysia menewaskan Terengganu 2-0.

Kemunculan Perak di pentas akhir adalah kali kelapan sejak Piala Malaysia dipertandingkan pada 1967 dan mereka bakal menjulang kejuaraan kali kelima.

Ia juga kejayaan kali kedua berturut-turut selepas cemerlang musim lalu menewaskan Negeri Sembilan.

Manakala Terengganu mara ke akhir buat kali keempat dan akan melakar sejarah merangkul Piala Malaysia kali pertama.

Dua jaringan Khalid Jamlus dan satu daripada Azrul Amri Burhan menidakkan kelebihan satu gol Pahang.

Sentuhan kecundang anak didik Ahmad Yunus Mohd. Aliff itu ternyata membunuh hasrat menggunung mereka untuk mara ke akhir sesudah kali terakhir melakukannya pada 1995.

Dalam keghairahan Pahang melebarkan kedudukan agregat 1-0, Seladang tiba-tiba tampil menyamakan kedudukan. Angkara ilham ketua pasukan Ahmad Shahrul Azhar Soffian dan disudahi Khalid Jamlus, gawang Pahang bocor pada minit ke-43.

Igauan buruk buat tuan rumah kembali ketika permainan berusia 65 minit. Berlari kencang di sebalik saiznya yang cilik, Rafdi Rashid yang cuma menghadapi Muadzar, memilih untuk menyepak tinggi sekali gus menghampakan Perak.

Derita Pahang berpanjangan dengan gol kedua Perak apabila sepakan kaki kiri Azrul Amri Burhan yang bersendirian tanpa kekangan sebarang benteng lawan tepat menuju penjuru kanan gawang Perak sebelum jaringan ketiga Khalid menyusul pada babak akhir permainan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmXaF13c

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan