Isnin, 3 April 2017

Aksi getir Perdana Satu



ARKIB : 29/07/2003
PASUKAN mana yang akan mengukir nama selaku juara bola sepak Perdana Satu masih sukar diramalkan, tetapi tidak mustahil sekiranya ia berlaku malam ini. Apakah ia menjadi milik Kedah atau Perak, peluang kedua-duanya masih sukar diramalkan menjelang baki dua perlawanan terakhir musim.

Atau mungkinkan tiga pasukan lagi iaitu Perlis, Sabah dan Pahang akan menjadi `cencaru makan petang', mengambil kesempatan pada saat-saat akhir?

Di atas kertas peluang Perak untuk mempertahankan kejuaraan musim lepas nampak cerah kerana dua perlawanan terakhir mereka nampak mudah, bermula dengan berdepan gergasi yang sedang tidur iaitu Selangor di Shah Alam malam ini.

Peluang juara Perdana Dua musim lepas, Kedah pula tampak sukar kerana akan berdepan dengan Pahang walau pun mereka menang 1-0 pada pusingan pertama liga di Kuantan April lepas.

Bagi kempen terakhir musim, Perak akan berdepan lawan lebih mudah iaitu Melaka pada Sabtu ini manakala Kedah melawat Kota Kinabalu untuk bertemu Sabah.

Kedah dan Perak ketika ini terikat dengan 41 mata walaupun skuad Kenari mendapat hak menduduki tangga teratas kerana kelebihan dari segi jumlah jaringan gol.

Perak mendapat sedikit tamparan menjelang perlawanan dengan Selangor apabila rayuan mereka untuk menangguhkan perlawanan dengan alasan keletihan selepas beraksi di separuh akhir kejohanan kelab ASEAN di Jakarta ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tetapi mereka mendapat suntikan semangat setelah berjaya memikat bintang India, Baichung Bhutia yang membantu kelab India, East Bengal muncul juara kelab ASEAN setelah mengalahkan pasukan pilihan, BEC Tero Sasana dari Thailand.

Kehebatan bekas penyerang Liberia, Frank Seator juga semakin menyerlah setelah menjaringkan lima gol di Jakarta untuk muncul penjaring kedua terbanyak di belakang Bhutia.

Bagaimanapun, ketika tumpuan menjurus kepada Kedah dan Perak, tiga pasukan di bawah mereka iaitu Perlis, Sabah dan Pahang jangan dilupakan. Sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Kedah dan Perak akan menyaksikan salah satu daripada tiga pasukan itu memintas pada hari terakhir kempen.

Perlis di tangga ketiga dengan 39 mata akan menentang Sarawak di Kuching malam ini manakala Sabah mengumpul 37 mata akan bertemu Melaka dan Pahang 36.

Hanya tinggal dua perlawanan sahaja memisahkan antara lima pasukan ini daripada Piala Liga dan hadiah lumayan RM150,000 selaku juara keseluruhan.

Wang sebanyak RM40,000 juga menanti pasukan yang muncul juara pusingan kedua ini. Perak merupakan juara pusingan pertama.

Selain perebutan untuk muncul juara Perdana Satu, persaingan turut berlaku untuk menempah tempat keenam secara automatik ke Liga Super musim depan.

Ketika lima pasukan di tangga teratas sudah mendapat hak automatik mereka, perebutan untuk tiket automatik terakhir berlaku di antara Pulau Pinang dengan Sarawak.

Pulau Pinang yang menduduki tangga keenam dengan 36 mata ketika ini bagaimanapun hanya mempunyai baki satu perlawanan setelah beraksi 23 kali, iaitu menentang Johor FC Malam ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dBJA9l00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan