Isnin, 3 April 2017

Perak rangkul juara liga kali kedua



ARKIB : 03/08/2003
 
PERAK muncul juara Liga Perdana Satu buat tahun kedua berturut-turut selepas membelasah Melaka 6-1 sambil dibantu keputusan seri 1-1 Kedah dengan Sabah, dalam perlawanan penutup tirai liga musim ini, semalam.

Perak yang turun dengan semangat membara selepas menyedari kelebihan jaringan yang dimiliki Kedah, ternyata memburu jaringan awal sebaik perlawanan dimulakan di Stadium Perak, Ipoh.

Dengan disaksikan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan 30,000 penonton, skuad bimbingan Tony Netto seawal minit ke-3 sudah membuka jaringan menerusi Indra Putra Mahyuddin.

Ini disusuli dengan jaringan Yusri Che Lah lima minit selepas itu untuk mudah mendahului 2-0.

Bagai singa lapar, Perak terus melebarkan kedudukan menerusi Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-34 sebelum Frank Seator menambah dua lagi jaringan pada minit ke-37 dan 53.

Bagaimanapun Melaka cuba bangkit menerusi jaringan Mohd. Fauzi Kassim pada minit ke-63 tetapi sisa-sisa perjuangan mereka berakhir apabila Indra sekali lagi menjaringkan gol keenam pada minit ke-83.

Dengan kemenangan itu, Perak mengumpul 47 mata daripada 24 perlawanan untuk muncul juara liga dengan memintas Kedah yang mengumpul 45 mata.

Ini kerana, ketika Perak berpesta, Kedah hanya perlu menyalahkan diri sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu selepas mendahului pada minit ke-9 menerusi sepakan penalti Akmal Rizal Rakhli.

Malangnya kedudukan itu gagal dipertahankan Kedah apabila Madzelan Emoi memusnahkan impian mereka untuk muncul juara liga apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-58.

Kedah yang hanya perlu menang perlawanan itu mengasak hebat selepas itu tetapi usaha mereka sekadar menyaksikan kekecewaan yang menjelma.

Pasukan di tangga ketiga liga, Perlis pula menewaskan Kelantan 4-0 di Stadium Utama, Kangar tetapi kemenangan itu sudah terlewat untuk mereka merangkul kejuaraan liga.

Gol-gol Perlis dijaringkan Tengku Hazman Raja Hassan pada minit ke-7 sebelum Philimon Chipieta melakukan hatrik pada minit ke-47, 49 dan 88.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mengejutkan Sarawak dengan menang 4-0 tetapi terus menghuni tangga tercorot liga musim ini.

Seidu Issifu membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-28 sebelum ditambah oleh Mohd. Nor Hisham Hassan (m-60), Mat Saharizan Mat Rani (m-88) dan Mat Khairool Mohamad (m-90).

Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC turut mencatat kemenangan 4-0 ke atas Selangor.

Hairi Azli Mahamad melakukan hatrik pada minit ke-14, 47 dan 73 manakala satu lagi gol dilakukan Eddy Helmi Abdul Manaf pada minit ke-56.

Telekom Melaka pula menewaskan Pahang 3-1 dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah.

Gol seawal minit pertama menerusi Mohd. Faizal Asahar mengejutkan Pahang sebelum gol kedua jaringannya menyusul pada minit ke-21.

Satu lagi gol Telekom Melaka dijaringkan Issac Kuffour pada minit ke-5.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dBXMevHN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan