Jumaat, 7 April 2017

Dua jaringan bukan jaminan buat Perak



ARKIB : 13/09/2003

PERAK masih dianggap kekurangan bekalan untuk bertandang ke Kuching bagi perlawanan bola sepak suku akhir kedua Piala Malaysia hari ini walaupun berbekalkan dua gol, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, skuad Seladang masih belum boleh `goyang kaki' dengan kelebihan dua gol itu kerana Sarawak pasti bangkit bagi mencari kemenangan di gelanggang sendiri.

Sehubungan itu, katanya, Perak akan bekerja keras bagi mempertahankan kelebihan tersebut dan yakin pemain skuad Seladang mampu melakukannya.

Perak mencatat kemenangan selesa dalam suku akhir pertama apabila menundukkan Sarawak 2-0 menerusi jaringan Baichung Bhutia (minit 15) dan Yusri Che Lah (67).

``Saya akan mengarahkan jurulatih, Toni Netto supaya meningkatkan lagi keupayaan barisan pertahanan bagi mengekang kepantasan serangan Bujang Senang kelak,'' kata Pengurus Pasukan Perak itu ketika ditemui semalam.

Dalam suku akhir pertama, jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Ramli telah menggunakan Ramos Sari dan Gilbert Cassedy Gawing bagi melemahkan barisan pertahanan Perak yang dibarisi oleh Faizal Zainal, Syamsol Saad, Chan Kok Heng dan Chan Wing Hoong.

Jamal Nasir mengakui kepantasan kedua-dua pemain itu menggerakkan serangan dari sayap kiri dan kanan membuatkan pemain-pemain Perak tertekan sehingga pasukan pelawat hampir menjaringkan gol.

Namun begitu kepantasan serangan Sarawak tidak berpanjangan apabila Gilbert Cassedy dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Selangor, Danny Ong pada minit ke-71 setelah mengkasari Yusri.

Ketiadaan Gilbert memberi peluang kepada para pemain Perak kembali mengatur serangan tetapi gagal menambah gol walaupun memperoleh beberapa peluang terbaik.

``Namun, Perak tetap lega dengan kelebihan dua gol itu kerana secara tidak langsung memberi tekanan kepada pemain-pemain Sarawak bagi mencari gol penyamaan,'' katanya.

``Oleh itu mereka (Sarawak) akan bermain lebih terbuka dan secara tidak langsung membuka ruang kepada para pemain Perak menambahkan jaringan,'' jelas Jamal Nasir.

Perak mungkin tidak dapat menurunkan penyerang sensasinya, Frank Seator dalam perlawanan kedua itu kerana dia mengalami kecederaan lutut kanannya.

``Ketiadaan Seator tidak menjejaskan barisan serangan skuad Seladang kerana V. Saravanan mampu menggantikan Seator untuk digandingkan dengan Baichung dan Indera Putra Mahayuddin kelak,'' tambah Jamal Nasir.

Sementara itu, penolong jurulatih, Mohd Zakaria Mohamed berkata, keghairahan para pemain Perak mahu menjaringkan gol membuatkan mereka banyak membazir tenaga sehingga terpaksa beraksi dalam keadaan tertekan.

Penolong jurulatih itu mengakui persembahan Perak kurang mantap setelah memperoleh gol pertama menyebabkan lebih 30,000 para penyokong di stadium itu tidak senang duduk.

``Mereka sepatutnya mematuhi setiap arahan yang diberikan supaya tidak membuang tenaga dengan sia-sia dan apabila diasak bertalu-talu para pemain itu sudah merasai keletihan,'' kata Zakaria.

Beliau berharap para pemain itu tidak mengulangi kesilapan tersebut kerana mereka perlu menggunakan akal dalam setiap perlawanan supaya tidak cepat kepenatan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dYWBT1Im
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan