Jumaat, 7 April 2017

Padang becak sukarkan Perak



ARKIB : 29/09/2003

KEGAGALAN para pemain Perak menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang basah menyebabkan skuad Seladang terpaksa menyimpan impian menjadi juara berganda dalam Liga Malaysia musim ini.

Sehubungan dengan itu, sejarah berulang kembali apabila Perak gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia bagi kali kedua berturut-turut setelah tersungkur di tangan Sabah dengan agregat 2-4 di Ipoh, kelmarin.

Skuad Negeri Di Bawah Bayu dengan corak persembahan yang mantap mencatat kemenangan manis menumpaskan Perak 3-1 dalam separuh akhir kedua itu setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam separuh akhir pertama di Kota Kinabalu 20 September lalu.

Namun begitu Sabah terpaksa menunggu sehingga sepuluh minit terakhir bagi mendapatkan gol kemenangan melalui Robert Jasper (79), Ronny Harun (90) dan Keith Gumbs (93).

Pemain kebangsaan, K. Nantha Kumar menyumbat gol sagu hati Perak pada minit ke-92 walaupun sebelum itu mempunyai beberapa peluang terbaik melalui Bhaichung Bhutia dan Frank Seator.

Kemenangan itu merupakan kejayaan kedua Sabah berturut-turut menyingkirkan Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia seterusnya menghalang muncul juara berganda. Pasukan Di Bawah Bayu itu turut menghalang skuad Seladang ke perlawanan akhir tahun lalu apabila berjaya menumpaskan Perak 2-1 di Ipoh setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Kota Kinabalu.

Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi mengakui kegagalan para pemain beraksi di atas padang yang basah menjadi faktor utama kekalahan Perak

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4daPwav1q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan