ARKIB : 10/07/2003
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
MESKIPUN tewas 2-0 kepada Johor
FC di Pasir Gudang kelmarin, Perak tetap yakin mampu memenuhi impian mereka
untuk bergelar juara bola sepak Perdana Satu musim ini dengan dua baki
perlawanan yang kelihatan menyebelahi mereka.
Begitupun ia bukan satu tugas mudah
bagi Perak untuk memenuhi impian mereka kerana dua lagi pasukan yang berpeluang
meraih gelaran, Kedah dan Perlis memiliki tiga baki perlawanan.
Perak yang mengumpul 41 mata
yakin mampu memenangi dua baki perlawanan terakhir mereka - menentang Selangor
di Shah Alam pada 29 Julai di Shah Alam dan menentang Melaka di Ipoh pada 2
Ogos nanti.
Kedah yang berkongsi 38 mata
bersama Perlis menduduki tangga kedua berdasarkan perbezaan gol yang lebih
baik.
Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir
Rasdi berkata, beliau tidak mahu para pemain pasukannya terlalu yakin untuk
mencatat kemenangan mudah ketika berdepan dengan dua cabaran terakhir itu.
Berdasarkan kedudukan sekarang,
Selangor dan Melaka tidak perlu bersaing secara aggresif kerana kedua-duanya
berada dalam kelompok pasukan terbawah dan tidak berupaya tersenarai dalam
lapan pasukan terbaik Perdana Satu untuk merebut tempat dalam Piala Malaysia.
Sebagai perbandingan, Kedah pula
terpaksa mengharungi laluan getir berdepan dua pencabar hebat Perdana Satu,
Pahang dan Sabah dalam baki perlawanan mereka.
Menurut Jamal, Kedah hanya
mempunyai satu kelebihan apabila bertemu Terengganu yang berada di tangga
tercorot pada 12 Julai ini di tempat lawan.
``Bukan mudah bagi Kedah untuk
menumbangkan Pahang di Alor Setar pada 29 Julai ini. Satu lagi masalah yang
perlu dihadapi oleh Kedah ialah pertemuan dengan Sabah di Kota Kinabalu pada 2
Ogos,'' ujarnya.
Mengulas kedudukan Perlis pula,
Jamal percaya pasukan itu turut menghadapi halangan besar menentang Telekom
Melaka di tempat lawan pada 12 Julai ini.
Telekom Melaka menduduki tangga
kesembilan dan berusaha memburu kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan mereka
dalam senarai lapan pasukan teratas.
Perlis pula terpaksa bersaing
dengan Sarawak di Kuching pada 29 Julai ini sebelum berdepan dengan cabaran
Kelantan di Kangar, pada 2 Ogos depan.
Mengulas kekalahan mereka kepada
Johor FC di Pasir Gudang kelmarin, jurulatih Perak, Tony Netto berkata, Johor
FC mendapat kelebihan selepas Perak beraksi tanpa tiga tonggak utama disebabkan
kecederaan dan penggantungan pemain.
Dalam perlawanan itu, Chan Wing
Hong tidak dapat diturunkan kerana penggantungan akibat dua kad kuning
sementara Indra Putra Mahyuddin dan Faizal Zainal pula cedera.
Katanya, disebabkan ketiadaan
tiga tonggak utama tersebut beliau terpaksa membuat rombakan sehingga
menjejaskan rentak permainan biasa.
``Saya tetap yakin Perak mampu
bergelar juara musim ini,'' kata Netto.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4d5bErxjz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan