ARKIB : 25/09/2004
PERTEMUAN menentang Pulau Pinang di Stadium Lumut dalam saingan Kumpulan B malam ini menjadi satu misi yang dianggap sebagai `hidup atau mati' buat skuad bola sepak Perak untuk meneruskan perjuangan ke suku akhir Piala Malaysia.
Kalah bermakna jurulatih, Toni Netto dan para pemainnya boleh melupakan hasrat untuk menjulang Piala Malaysia sebaliknya mereka boleh menumpukan perhatian menghadapi perlawanan akhir Piala FA pada 10 Oktober ini.
Begitupun sisa-sisa perjuangan mereka belum menemui titik noktah jika mencapai kemenangan malam ini.
Kemenangan itu akan menghidupkan kembali peluang Perak untuk mengisi salah satu tempat ke suku akhir mengiringi Pulau Pinang yang telah pun layak lebih awal.
Dalam perlawanan terakhir Rabu depan, skuad Kejor Yeop Kejor itu akan berdepan dengan MPPJ.
Manakala saingan terdekat Perak dalam kumpulan B, Negeri Sembilan yang kini menduduki tangga kedua dengan tujuh mata pula berdepan dengan Pulau Pinang dalam perlawanan terakhir.
Jika Negeri Sembilan menang, mereka secara automatik layak ke suku akhir dengan memungut 10 mata sedangkan jika Perak menang baki dua perlawanan mereka sekadar memiliki 9 mata.
Apa pun nasib skuad Perak ibarat `Yo Yo', seperti juga prestasi semasa mereka yang terumbang-ambing.
Selepas Perak tersingkir di suku akhir Piala AFC kepada Geylang United baru-baru ini, pastinya anak buah Toni Netto tidak rela mendung yang menyelubungi pasukannya berterusan.
Buat Pulau Pinang pula tidak tertekan berdepan dengan Perak di gelanggang lawan memandangkan mereka menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir dengan 12 mata penuh hasil empat kemenangan berturut-turut.
Ketumpulan jentera serangan Perak dengan kelibat V. Saravanan dan Khalid Jamlus yang tidak bermaya ketika di depan pintu gol, jelas membawa petaka.
Manakala ayam tambatan mereka, Frank Seator kurang menyengat kerana masih dibelenggu kecederaan sekali gus merumuskan nasib malang skuad Yeop ini.
Setakat ini empat pasukan sudah pun melayakkan diri ke suku akhir, selain Pulau Pinang ialah juara liga Super, Pahang, Kedah dan Sabah.
Manakala empat lagi tempat menjadi buruan dalam aksi terakhir yang akan diketahui Rabu depan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan