ARKIB : 24/09/2003
PERAK terus dilanda kebimbangan
apabila tiga tonggak utama mereka termasuk penyerang berbisa, Frank Seator
masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan menjelang pertemuan kedua
separuh akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh Sabtu ini, lapor
KAMARUDDIN ISMAIL.
Ketua pasukan, Ahmad Sharul Azhar
dan pemain tengah, K. Nantha Kumar masih dihantui oleh masalah kecederaan yang
boleh menjejaskan persiapan skuad Seladang itu.
Bekas penyerang Liberia, Seator
yang mengalami masalah kecederaan lutut kanannya tidak menjalani latihan
semalam meskipun datang ke stadium bersama isterinya, Lau Rena Waljroh melihat
rakan-rakannya berlatih.
Shahrul mula menjalani latihan
ringan walaupun pergelangan kaki kanannya masih berbalut.
Sukan Utusan difahamkan Nantha
Kumar yang melapor diri untuk menjalani latihan pusat skuad kebangsaan
diarahkan pulang ke Ipoh semalam oleh jurulatih kebangsaan, Allan Harris kerana
kecederaan lutut kirinya.
Pemain kebangsaan itu sedang
dirawat di sebuah hospital swasta yang mana lutut kirinya terpaksa di x-ray
untuk menentukan tahap kecederaan yang dialaminya.
Perak mungkin menerima tamparan
hebat jika Nantha Kumar tidak dapat beraksi Sabtu ini kerana pemain tengah itu
merupakan salah seorang pemain utama di bahagian tengah.
Kecederaan Nantha dan prestasi
Shahrul yang kurang memuaskan itu menyebabkan bahagian tengah Perak hanya akan
dikemudi oleh Yusri Che Lah.
Pengurus Pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi bagaimanapun yakin ketiga-tiga pemain itu mampu cergas menjelang
pertemuan tersebut.
``Kecederaan yang dialami oleh
Nantha Kumar, Shahrul dan Seator hanya kecederaan kecil sahaja dan mampu berada
dalam kesebelasan utama,'' jelas Datuk Jamal di Ipoh, semalam.
Pengurus pasukan itu percaya
kecederaan mereka tidak menjejaskan strategi jurulatih, Toni Netto kerana skuad
Seladang juga menyediakan strategi sampingan jika berlaku sebarang kecederaan
ke atas pemain-pemainnya. Dalam perkembangan lain, Jamal Nasir terkilan dengan
sikap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak peka dengan persiapan
pasukan-pasukan yang beraksi dalam separuh akhir kedua ini.
Katanya, FAM sepatutnya
mengenepikan pemain-pemain yang terlibat dalam perlawanan separuh akhir ini
daripada mewakili negara dalam perlawanan persahabatan Jumaat ini.
Dua pemain Perak, Nantha Kumar
dan Indera Putra Mahayuddin dipanggil menjalani latihan pusat bagi menghadapi
perlawanan persahabatan tersebut menjelang Pra Piala Asia bulan depan.
Selain Perak, tiga pemain Perlis,
termasuk Tengku Azman Hassan dan seorang pemain Sabah, Zanizam Marjan turut
dipanggil menjalani latihan pusat di Kelana Jaya sejak Isnin lalu.
``Saya percaya negeri-negeri lain
juga resah dengan tindakan FAM itu kerana mereka juga perlu menghimpunkan semua
pemain bagi membentuk skuad mantap bagi perlawanan Sabtu ini,'' ujar Jamal.
``Saya bukan tidak mempunyai
semangat patriotik tetapi cara FAM mengadakan perlawanan ini kurang sesuai
kerana keempat-empat pasukan ini sedang menyediakan pasukan bagi perlawanan
yang paling kritikal ini,'' tambahnya lagi.
Katanya, kalau kesemua pemain
berkenaan diturunkan beraksi Jumaat ini sudah tentu mereka tidak dapat beraksi
dengan baik dalam perlawanan separuh akhir kedua kelak.
``Ini sudah tentu menyeksakan
pemain-pemain berkenaan dan secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka
mengalami kecederaan yang teruk,'' tegas Jamal.
Beliau berharap FAM akan lebih
bertolak ansur dengan pasukan-pasukan yang terlibat supaya dapat melepaskan
pemain berkenaan lebih awal supaya dapat beraksi lebih selesa dengan negeri
masing-masing.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dZxlxado
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan