Ahad, 30 April 2017

Saravanan ikut jejak Khalid

ARKIB : 12/11/2004
PERAK bakal bernafas dalam lumpur menghadapi kempen musim depan selepas penyerangnya, Mohd. Khalid Jamlus berhijrah ke Selangor, seorang lagi bintang lincahnya V. Saravanan turut mengikut jejak mewakili skuad Merah Kuning musim depan.
Skuad Seladang tidak menjangka Saravanan akan meninggalkan juara Piala FA itu ketika penyerang tinggi lampai Khalid hangat diperkatakan menyarung jersi Selangor.
Segala-galanya berlaku terlalu pantas ketika Khalid menemui Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi petang kelmarin untuk mendapat pelepasan menyertai Selangor, pengurus itu tersentak apabila Saravanan turut melahirkan hasrat untuk meninggalkan skuad Seladang.
Jamal yang tergamam seketika dengan pendirian dua anak buahnya itu akhirnya akur untuk memberi pelepasan kepada Khalid dan Saravanan mewakili Selangor selepas tamat kontrak mereka pada 31 Disember ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi semalam. Beliau memberitahu Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), telah memberi lampu `hijau' untuk melepaskan bukan sahaja Khalid tetapi juga penyerang kebangsaan, Saravanan.
``Saya sudah menghubungi Jamal Nasir dan beliau telah memberikan jaminan bahawa PAFA akan mengeluarkan surat pelepasan bukan sahaja kepada kepada Khalid tetapi juga kepada Saravanan untuk mewakili Selangor,'' katanya.
Hamidin berkata, persetujuan yang diberikan oleh Perak sekali gus menamatkan perang dingin antara FAS dan PAFA berhubung hasrat Khalid untuk menyertai skuad Merah Kuning ketika kontraknya hanya akan berakhir hujung tahun ini.
``Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Jamal Nasir kerana akhirnya memberi pelepasan bukan sahaja kepada Khalid tetapi juga kepada Saravanan,'' katanya.
Sambil itu kata Hamidin lagi, FAS dan PAFA akan mengadakan rundingan mengenai pampasan ke atas kedua-dua pemain kebangsaan itu.
Mengulas mengenai kedatangan Saravanan beliau berkata, ia sesuatu yang mengejutkan dan tidak dijangka.
``Dalam tempoh yang singkat Saravanan ada menelefon saya memberitahu bahawa dia turut berminat untuk ke Selangor.
``Bagi Selangor, sememangnya kita mengalu-alukan kedatangan Saravanan termasuk juga Khalid,'' tambahnya.
Hamidin menyifatkan kehadiran Saravanan dan Khalid akan memperkukuhkan jentera serangan Selangor musim depan untuk bergandingan dengan penyerang berbahaya Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain Argentina, Brian Fuentes yang dikekalkan khidmatnya untuk semusim lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan