
ARKIB : 03/09/2006
PENYERANG Perlis, Zachariah Simukonda (terbaring) disekat oleh pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal (tengah) dalam perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Utama Kangar, malam tadi. Perlis dan Perak seri 0-0.
KANGAR Naib juara musim lalu, Perlis gagal mengggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar terikat 0-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Utama Kangar, malam tadi lapor Metra Syahril Mohamad.
Gandingan mantap Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda jelas tumpul untuk mencipta jaringan apabila rangkaian benteng pertahanan Perak bijak mengekang setiap gerakan dua pertama hitam Perlis itu.
Malah, Perak yang mengharapkan sentuhan Keita Mandjou dan Abdolaye Trarore juga turut hampa untuk menembusi pertahanan Perlis.
Kehadiran kira-kira 25,000 penonton yang dikuasai sepenuhnya oleh penyokong skuad Singa Utara nyata tidak mampu menyuntik kekuatan Perlis akur tanpa kelebihan jaringan sebagai bekalan apabila berkunjung ke Stadium Perak, Sabtu depan.
Tekanan kini buat Perlis bertandang ke tempat lawan apabila menyedari Perak cukup ampuh bermain di tempat sendiri.
Sebaik babak bermula, jelas menyaksikan penguasaan penuh skuad Singa Utara menerusi gandingan Chepita dan Simukonda sering memberi ancaman di benteng pertahanan Perak.
Perlis memperoleh peluang pada minit-minit awal perlawanan namun percubaan Azlan Ismail untuk memperoleh gol gara-gara kesilapan pertahanan Perak, gagal disempurnakan.
Azlan sekali lagi mencuri perhatian kira-kira 25,000 penonton pada minit kelapan menerusi sepakan kencang jarak jauh tetapi tersasar ke kanan gawang lawan.
Pada minit ke-26, Azlan menggamatkan Stadium Utama apabila meledakkan jaringan pembukaan, namun gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Tersentak dengan percubaan Azlan itu, penyerang Perak, Wong Sai Kong kemudiannya bergerak mengatur strategi tetapi percubaannya pada minit ke-36, gagal menepati sasaran.
Sebaik babak kedua bermula, Perlis terus menggandakan asakan mencari gol pembukaan tetapi sukar menembusi benteng ampuh Perak.
Pada minit-minit akhir Perlis terlepas peluang keemasan untuk memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Chepita terkena tiang gol.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4omf4EMj9
© Utusan Melayu (M) Bhd