Selasa, 13 Oktober 2020

Shahrel akur tiada rezeki

MyMetroArena



BERNAMA

Kuala Lumpur: Biarpun kecewa gagal muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super, penyerang Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap berpuas hati dengan rekod 10 jaringan yang dihasilnya dalam keseluruhan 11 perlawanan dalam saingan musim ini.

Malah, pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu mengakui bukan mudah untuk menyerap tekanan dan jangkaan pada setiap perlawanan dalam usaha dia memenuhi impian peminat menyaksikan Anugerah Kasut Emas menjadi milik penyerang tempatan.

Jelasnya, beliau akur rezeki Anugerah Kasut Emas serta slot ke Piala AFC 2021 tidak berpihak kepadanya dan pasukan Perak, namun menegaskan skuad 'The Bos Gaurus' telah memberikan yang terbaik dalam kesemua enam aksi sejak liga kembali bersambung pada akhir Ogos lalu.

"Bila terlepas kedua-dua (Anugerah Kasut Emas dan slot ke Piala AFC) ia satu perasaan yang sangat kecewa kerana tidak dapat bantu pasukan dan merealisasikan impian penyokong melihat saya dinobatkan penjaring terbanyak. Saya membayangkan saya mungkin dapat meraih salah satu daripada itu.

"Secara peribadi saya katakan saingan musim ini sangat mencabar walaupun saya berjaya jaringkan 10 gol. Ia bukan senang dan saya berbangga dengan diri sendiri dan rakan sepasukan yang berikan terbaik dalam setiap perlawanan," katanya hari ini.

Anugerah Kasut Emas Liga Super menjadi milik penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun yang memintas di saat akhir dengan perbezaan dua gol selepas penyerang kelahiran Nigeria itu meledak hatrik susulan kemenangan 6-1 Selangor ke atas Felda United, Sabtu lalu.

Muhammad Shahrel pula gagal meledak jaringan ketika kekalahan 2-3 Perak kepada Kedah di Stadium Ipoh, Perak, semalam yang menyaksikan skuad Lang Merah muncul naib juara Liga Super sekali gus meraih slot ke Piala AFC 2021.

Beliau berkata, pertembungan itu ibarat misi hidup dan mati buat kedua-dua pasukan yang berhasrat beraksi di pentas Asia musim hadapan dengan kesemua barisan pemain bermotivasi tinggi pada aksi berintensiti tinggi itu.

"Ini satu pengalaman baharu di mana saya mengejar gelaran penjaring terbanyak dan pada masa sama perlu bantu Perak meraih tiga mata. Ia satu beban yang berat tetapi saya telah berikan segalanya dan apa yang berlaku semalam kami (pemain) terima seadanya.

"Saya dan pasukan perlu meneruskan serta lupakan apa yang berlaku dalam saingan liga musim ini dan menghala tumpuan untuk berikan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia nanti," jelasnya yang lebih dikenali sebagai Eky.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 9:38 PM

Ahad, 11 Oktober 2020

Eky tekad balas kepercayaan

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 11 Oktober 2020


Shahrel Fikri. Foto Facebook Perak TBG



PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap mengutamakan kejayaan skuad The Bos Gaurus pada aksi terakhir liga berdepan Kedah di Stadium Perak, malam ini biarpun dilihat berpeluang untuk memenangi Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super musim ini.
Dengan merekodkan 10 gol setakat ini Shahrel Fikri atau juga dikenali sebagai Eky mengakui sangat teruja dengan aksi berkenaan yang dilihat sebagai pentas terbaik bagi membalas segala kepercayaan yang telah diberikan oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic kepadanya selama iniJusteru menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia mahu memastikan kemenangan skuad The Bos Gaurus itu malam ini dan mengesahkan kedudukan selaku naib juara CIMB Liga Super.
“Perasaan saya sangat teruja ketika ini, terutamanya dengan prestasi saya bersama pasukan Perak pada tahun ini. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas segala kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih selain kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan selama ini.
“Justeru, saya mahu membalas semua itu dengan memastikan kemenangan Perak malam ini dan sekali gus menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kedua bagi menempah slot automatik ke saingan Piala AFC musim depan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Perak kini mengumpul 18 mata daripada 10 perlawanan hasil lima kemenangan, seri tiga kali dan tewas dua kali berbanding Kedah mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali daripada 10 perlawanan setakat ini.
Selain itu Shahrel Fikri yang turut merekodkan 10 gol setakat ini sebelum ini turut berpeluang memenangi Anugerah Kasut Emas walaupun dicabar hebat dua penyerang import melibatkan Ifedayo Olusegun dari Selangor dengan sembilan gol (tanpa mengira aksi semalam) serta penyerang Terengganu FC I (TFC I), Dominique Da Sylva dengan lapan gol setakat ini.
Sementara itu, Shahrel Fikri menyifatkan dia tidak terlalu memikirkan mengenai anugerah berkenaan sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk memastikan kejayaan pasukan Perak.
“Azam saya untuk perlawanan terakhir ini adalah untuk memastikan Perak menamatkan saingan pada kedudukan kedua dan seterusnya layak ke Piala AFC tahun depan.
“Untuk menjaringkan gol, itu sememangnya menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang penyerang; jika ia berhasil (menambah jaringan), ia adalah bonus untuk saya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104784/BERITA/Sukan/Eky-tekad-balas-kepercayaan© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Khamis, 8 Oktober 2020

Kasut Emas bonus buat saya - Shahrel

Oleh Zulfaizan Mansor - September 30, 2020 @ 11:00pm

zulfaizan@bh.com.my

.


Aksi Shahrel (depan) ketika meraikan jaringan.

KUALA LUMPUR: Penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi menganggap dia akan mendapat 'bonus' sekiranya berjaya merangkul Anugerah Kasut Emas musim ini.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu menegaskan betapa fokus utamanya ketika ini untuk membantu skuad Bos Gaurus layak beraksi ke Piala AFC 2021.

Shahrel ketika ini mengungguli carta penjaring terbanyak dengan sembilan gol selepas berjaya meledak empat gol ketika menentang Felda United, Jumaat lalu.

"Memang ini pencapaian membanggakan untuk saya. Kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

"Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi apa saja boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

"Dengan sembilan gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipre (Kedah) dan pemain lain yang mengumpul tujuh dan enam gol. Mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

"Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini," katanya.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic menghuni tangga kedua liga dengan hanya berkelebihan satu mata di depan Kedah.SUMBER BH ONLINE 

Ahad, 27 September 2020

Eky damba Kasut Emas

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 27 September 2020



Shahrel Fikri kini menerajui carta penjaring terbanyak saingan CIMB Liga Super apabila merekodkan sembilan gol. -Foto FB PERAK TBG

PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengidamkan anugerah Kasut Emas buat kali pertama di pentas Liga Malaysia (Liga-M) selepas cemerlang menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Felda United di Stadium Perak malam kelmarin.

Menurut Shahrel Fikri yang kini merekodkan sembilan gol, dia yakin mampu merealisasikan impiannya itu dan bertekad menambah koleksi jaringan dalam dua lagi baki perlawanan.
“Syukur alhamdulillah dengan segala usaha dan kerja keras selama ini, saya rasa sudah semakin dapat kembali sentuhan. Untuk dapat Kasut Emas pertama dalam karier saya, memang nampak ada peluang cerah.
“Namun, ada dua lagi baki perlawnanan dan saya tidak boleh berpuas hati lagi sebab dalam bola sepak ini apa pun boleh jadi. Apa yang pasti, saya menyasarkan untuk menambah jaringan pada perlawanan akan datang.
“Sebagai seorang penyerang, mahu atau tidak saya tetap perlu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan walaupun satu gol kerana ia adalah tugas seorang penyerang di atas padang,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky mendahului carta penjaring terbanyak CIMB Liga Super ketika ini sambil meninggalkan beberapa awang import, antaranya penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Dal Sylva serta dua ayam tambatan Kedah - Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.
Turut berada dalam senarai pemburuan Kasut Emas kali ini termasuklah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera, penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi serta penggempur Pahang, Ivan Carlos.
Jika Shahrel Fikri berjaya merangkul Kasut Emas musim ini, ia sekali gus akan menyaksikan penyerang skuad Harimau Malaya itu memecah dominasi pemain import yang sering memenangi anugerah tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Shahrel Fikri turut berterima kasih kepada pengendali Perak, Mehmet Durakovic yang tidak pernah berhenti memberikan kepercayaan kepadanya untuk kembali bangkit selepas sering dipalit dengan masalah kecederaan.
“Saya rasa setiap pasukan memang harap pemain import menjaringkan gol berbanding pemain tempatan. Tetapi berbeza dengan Perak kerana coach Mehmet memberikan 100 peratus kepercayaan kepada saya dan saya mahu membalas balik kepercayaanya itu.
“Malah, usaha rakan-rakan sepasukan juga banyak membantu saya. Mereka tahu kemampuan saya dan itu yang membuatkan saya rasa enjoy apabila bermain dengan mereka dan itu juga yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102790/BERITA/Sukan/Eky-damba-Kasut-Emas© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ahad, 20 September 2020

Perak II, NS kongsi satu mata

MyMetroArena



Noor Hidayah Tanzizi

sukanteam@nstp.com.my

PERAK II dan Negeri Sembilan berkongsi mata apabila seri 0-0 pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, hari ini.

Pasukan pelawat kendalian Sazali Saidun cuba mencari gol melalui rembatan Adam Othman Mohd Arfah pada minit ke-24 namun berjaya dinafikan penjaga gol Perak II, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Dua minit kemudian peluang hadir buat tuan rumah namun sepakan padu Khairul Asyraf Sahizah gagal menewaskan penjaga gol pelawat, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kedua-dua pasukan terus tampil ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan namun gagal menemui penyudah.

Babak kedua bersambung, skuad Hobin Jang Hobin berpeluang mencetak jaringan namun sepakan deras Jose Almir Barros Neto pada minit ke-56 tersasar ke kanan gawang tuan rumah.

Anak buah Abu Bakar Fadzim memperkemaskan permainan namun peluang diperolehi melalui sepakan Khairul Syafiq Mustaffa pada minit ke-69 tersasar atas gawang lawan.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:25 PM


Sabtu, 5 September 2020

Perak II turun tanpa Pires

BRUNO LUIZ PIRES

Oleh AZIZAN HASHIM

4 September 2020, 8:57 pmIPOH: Pasukan Perak II akan turun beraksi tanpa penyerang utama, Bruno Luiz Pires apabila menentang Kuching FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung esok.

Ini kerana pemain itu dipinjamkan kepada skuad Liga Super Perak bagi menghadapi pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan hari ini.

Ketiadaan Bruno pasti akan menjejaskan kemampuan jentera serangan pasukan tuan rumah tetapi Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim akur dengan apa yang berlaku.Abu Bakar berkata, sebagai pasukan feeder, pasukan itu akan memberi bantuan kepada pasukan utama.

Pasukan Liga Super lebih penting justeru Perak II perlu membuat pengorbanan, itulah fungsi sebagai pasukan pembangunan,” katanya di sini.

Menurutnya, Perak II akan menyandarkan harapan kepada dua tenaga import iaitu Tarik Isic dan Sacha Petshi untuk mengemudi benteng pasukan dalam perlawanan esok.


Katanya, pasukan itu yang memburu kemenangan pertama dalam aksi Liga Perdana musim ini akan mempertaruhkan cabarannya kepada penyerang tempatan.


Menurut Abu Bakar, dia sudah membuat percubaan itu dengan menurunkan pemain muda ketika terikat 2-2 dengan Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, minggu lalu.


Saya turunkan lima pemain muda dalam perlawanan itu, mereka menunjukkan potensi cuma mungkin kurang dari segi pengalaman,” ujarnya.


Saya berharap pemain mampu beraksi cemerlang bagi mendapatkan kemenangan sulung musim ini,” katanya SUMBER-UM ONLINE

Jumaat, 4 September 2020

Perak mangsa amukan JDT

Oleh KHAIRUL MOHD ALI

4 September 2020, 11:19 pm

ISKANDAR PUTERI: Ketiadaan penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menghalang tuan rumah berpesta gol apabila menundukkan Perak 7-0 dalam saingan Liga Super malam ini.Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini itu menyaksikan JDT menjaringkan empat gol dalam separuh masa pertama.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya sehingga minit ke-20 permainan sebelum JDT menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi Mohd. Afiq Fazail.Pesta gol tuan rumah berterusan pada minit ke-35 mereka berjaya menggandakan jaringan menerusi percubaan pemain import, Gonzalo Cabrera.

Tuah juga memihak kepada JDT apabila pada minit ke-43 mereka dianugerahkan sepakan penalti selepas Diogo Santo dijatuhkan oleh Muhammad Rafiuddin Roddin.

Cabrera tidak mensia-siakan peluang itu dengan menjaringkan gol ketiga JDT melepasi penjaga gawang Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Muhammad Ramadhan melengkapkan separuh masa pertama JDT dengan menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan sebelum wisel rehat ditiup pengadil.

Permainan babak kedua bermula dengan JDT terus memburu jaringan apabila pada minit ke-62, Cabrera mencatat hatrik sekaligus menjaringkan gol kelima tuan rumah.


Berselang 16 minit, Safawi Rasid yang masuk pada separuh masa kedua menambah jaringan pada minit ke-78 menjadikan keputusan 6-0.


Menutup malam sempurna JDT, Akhyar Rashid yang juga dibawa masuk pada babak kedua menutup tirai jaringan JDT dengan gol ketujuh pada minit ke-83.


Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan JDT selaku pendahulu Liga Super sekaligus menutup harapan Perak untuk merampas kejuaraan.SUMBER-UM ONLINE

Jumaat, 28 Ogos 2020

Rekod tanpa kalah Perak lebur

 TERKINI

Rekod tanpa kalah Perak lebur

Oleh KOSMO!

28 Ogos 2020, 11:31 pm


Oleh AZIZAN HASHIM


IPOH – Rekod tanpa kalah Perak dalam saingan Liga Super 2020 lebur apabila tumpas 0-1 di tangan Melaka United di Stadium Perak di sini sebentar tadi.


Muhammad Ferris Danial Mat Nasir muncul wira pelawat apabila menyumbat gol kemenangan pasukannya.


Anak buah Zainal Abidin Hassan itu memanfaatkan kealpaan benteng tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gpl Perak, Mohamad Nasrullah Abdul Aziz di sebelah kanan. pada minit-51.


Anak buah Mehmet Durakovic hanya boleh menyalahkan diri kerana gagal memanfaatkan peluang diperolehi.


Walaupun Perak cuba bangkit selepas itu tetapi segala usaha mereka tidak berjaya.


Turun selepas berehat hampir empat bulan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedua-dua pasukan tampak bergelut dengan persembahan masing terutama di babak pertama dan gagal menyudahkan peluang dicipta.


Skrip babak kedua tidak berubah dengan kedua-dua pasukan mempamer corak berbeza dan nasib nyata lebih menyebelahi pelawat apabila berjaya memecah kebuntuan. SUMBER– K! ONLINE

Bos Gaurus tumbang mengejut

Oleh AZIZAN HASHIM

28 Ogos 2020, 11:22 pm


IPOH: Rekod tanpa kalah Perak dalam saingan Liga Super lebur apabila tumpas 0-1 kepada Melaka United dalam perlawanan di Stadium Perak di sini hari ini.


Muhammad Ferris Danial Mat Nasir muncul wira pasukan pelawat apabila menyumbat gol kemenangan pasukannya.


Anak buah Zainal Abidin Hassan itu memanfaatkan kealpaan benteng pasukan tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gol Perak, Mohamad Nasrullah Abdul Aziz pada minit ke-51.


Anak buah Mehmet Durakovic hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang gol yang diperoleh.


Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit selepas ketinggalan tetapi segala usaha mereka gagal membuahkan hasil.


Turun beraksi selepas berehat hampir empat bulam akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedua-dua pasukan tampak bergelut dengan persembahan masing-masing terutama pada babak pertama apabila gagal menyudahkan peluang jaringan yang dicipta.


Skrip babak kedua tidak berubah dengan kedua-dua pasukan mempamer corak berbeza dan nasib ternyata lebih menyebelahi pelawat apabila berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi gol tunggal perlawanan Mohamad Nasrullah.SUMBER-UM ONLINE