Ahad, 27 September 2020

Eky damba Kasut Emas

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 27 September 2020



Shahrel Fikri kini menerajui carta penjaring terbanyak saingan CIMB Liga Super apabila merekodkan sembilan gol. -Foto FB PERAK TBG

PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengidamkan anugerah Kasut Emas buat kali pertama di pentas Liga Malaysia (Liga-M) selepas cemerlang menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Felda United di Stadium Perak malam kelmarin.

Menurut Shahrel Fikri yang kini merekodkan sembilan gol, dia yakin mampu merealisasikan impiannya itu dan bertekad menambah koleksi jaringan dalam dua lagi baki perlawanan.
“Syukur alhamdulillah dengan segala usaha dan kerja keras selama ini, saya rasa sudah semakin dapat kembali sentuhan. Untuk dapat Kasut Emas pertama dalam karier saya, memang nampak ada peluang cerah.
“Namun, ada dua lagi baki perlawnanan dan saya tidak boleh berpuas hati lagi sebab dalam bola sepak ini apa pun boleh jadi. Apa yang pasti, saya menyasarkan untuk menambah jaringan pada perlawanan akan datang.
“Sebagai seorang penyerang, mahu atau tidak saya tetap perlu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan walaupun satu gol kerana ia adalah tugas seorang penyerang di atas padang,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky mendahului carta penjaring terbanyak CIMB Liga Super ketika ini sambil meninggalkan beberapa awang import, antaranya penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Dal Sylva serta dua ayam tambatan Kedah - Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.
Turut berada dalam senarai pemburuan Kasut Emas kali ini termasuklah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera, penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi serta penggempur Pahang, Ivan Carlos.
Jika Shahrel Fikri berjaya merangkul Kasut Emas musim ini, ia sekali gus akan menyaksikan penyerang skuad Harimau Malaya itu memecah dominasi pemain import yang sering memenangi anugerah tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Shahrel Fikri turut berterima kasih kepada pengendali Perak, Mehmet Durakovic yang tidak pernah berhenti memberikan kepercayaan kepadanya untuk kembali bangkit selepas sering dipalit dengan masalah kecederaan.
“Saya rasa setiap pasukan memang harap pemain import menjaringkan gol berbanding pemain tempatan. Tetapi berbeza dengan Perak kerana coach Mehmet memberikan 100 peratus kepercayaan kepada saya dan saya mahu membalas balik kepercayaanya itu.
“Malah, usaha rakan-rakan sepasukan juga banyak membantu saya. Mereka tahu kemampuan saya dan itu yang membuatkan saya rasa enjoy apabila bermain dengan mereka dan itu juga yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102790/BERITA/Sukan/Eky-damba-Kasut-Emas© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ahad, 20 September 2020

Perak II, NS kongsi satu mata

MyMetroArena



Noor Hidayah Tanzizi

sukanteam@nstp.com.my

PERAK II dan Negeri Sembilan berkongsi mata apabila seri 0-0 pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, hari ini.

Pasukan pelawat kendalian Sazali Saidun cuba mencari gol melalui rembatan Adam Othman Mohd Arfah pada minit ke-24 namun berjaya dinafikan penjaga gol Perak II, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Dua minit kemudian peluang hadir buat tuan rumah namun sepakan padu Khairul Asyraf Sahizah gagal menewaskan penjaga gol pelawat, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kedua-dua pasukan terus tampil ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan namun gagal menemui penyudah.

Babak kedua bersambung, skuad Hobin Jang Hobin berpeluang mencetak jaringan namun sepakan deras Jose Almir Barros Neto pada minit ke-56 tersasar ke kanan gawang tuan rumah.

Anak buah Abu Bakar Fadzim memperkemaskan permainan namun peluang diperolehi melalui sepakan Khairul Syafiq Mustaffa pada minit ke-69 tersasar atas gawang lawan.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:25 PM


Sabtu, 5 September 2020

Perak II turun tanpa Pires

BRUNO LUIZ PIRES

Oleh AZIZAN HASHIM

4 September 2020, 8:57 pmIPOH: Pasukan Perak II akan turun beraksi tanpa penyerang utama, Bruno Luiz Pires apabila menentang Kuching FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung esok.

Ini kerana pemain itu dipinjamkan kepada skuad Liga Super Perak bagi menghadapi pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan hari ini.

Ketiadaan Bruno pasti akan menjejaskan kemampuan jentera serangan pasukan tuan rumah tetapi Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim akur dengan apa yang berlaku.Abu Bakar berkata, sebagai pasukan feeder, pasukan itu akan memberi bantuan kepada pasukan utama.

Pasukan Liga Super lebih penting justeru Perak II perlu membuat pengorbanan, itulah fungsi sebagai pasukan pembangunan,” katanya di sini.

Menurutnya, Perak II akan menyandarkan harapan kepada dua tenaga import iaitu Tarik Isic dan Sacha Petshi untuk mengemudi benteng pasukan dalam perlawanan esok.


Katanya, pasukan itu yang memburu kemenangan pertama dalam aksi Liga Perdana musim ini akan mempertaruhkan cabarannya kepada penyerang tempatan.


Menurut Abu Bakar, dia sudah membuat percubaan itu dengan menurunkan pemain muda ketika terikat 2-2 dengan Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, minggu lalu.


Saya turunkan lima pemain muda dalam perlawanan itu, mereka menunjukkan potensi cuma mungkin kurang dari segi pengalaman,” ujarnya.


Saya berharap pemain mampu beraksi cemerlang bagi mendapatkan kemenangan sulung musim ini,” katanya SUMBER-UM ONLINE

Jumaat, 4 September 2020

Perak mangsa amukan JDT

Oleh KHAIRUL MOHD ALI

4 September 2020, 11:19 pm

ISKANDAR PUTERI: Ketiadaan penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menghalang tuan rumah berpesta gol apabila menundukkan Perak 7-0 dalam saingan Liga Super malam ini.Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini itu menyaksikan JDT menjaringkan empat gol dalam separuh masa pertama.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya sehingga minit ke-20 permainan sebelum JDT menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi Mohd. Afiq Fazail.Pesta gol tuan rumah berterusan pada minit ke-35 mereka berjaya menggandakan jaringan menerusi percubaan pemain import, Gonzalo Cabrera.

Tuah juga memihak kepada JDT apabila pada minit ke-43 mereka dianugerahkan sepakan penalti selepas Diogo Santo dijatuhkan oleh Muhammad Rafiuddin Roddin.

Cabrera tidak mensia-siakan peluang itu dengan menjaringkan gol ketiga JDT melepasi penjaga gawang Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Muhammad Ramadhan melengkapkan separuh masa pertama JDT dengan menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan sebelum wisel rehat ditiup pengadil.

Permainan babak kedua bermula dengan JDT terus memburu jaringan apabila pada minit ke-62, Cabrera mencatat hatrik sekaligus menjaringkan gol kelima tuan rumah.


Berselang 16 minit, Safawi Rasid yang masuk pada separuh masa kedua menambah jaringan pada minit ke-78 menjadikan keputusan 6-0.


Menutup malam sempurna JDT, Akhyar Rashid yang juga dibawa masuk pada babak kedua menutup tirai jaringan JDT dengan gol ketujuh pada minit ke-83.


Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan JDT selaku pendahulu Liga Super sekaligus menutup harapan Perak untuk merampas kejuaraan.SUMBER-UM ONLINE