Selasa, 13 Oktober 2020

Shahrel akur tiada rezeki

MyMetroArena



BERNAMA

Kuala Lumpur: Biarpun kecewa gagal muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super, penyerang Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap berpuas hati dengan rekod 10 jaringan yang dihasilnya dalam keseluruhan 11 perlawanan dalam saingan musim ini.

Malah, pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu mengakui bukan mudah untuk menyerap tekanan dan jangkaan pada setiap perlawanan dalam usaha dia memenuhi impian peminat menyaksikan Anugerah Kasut Emas menjadi milik penyerang tempatan.

Jelasnya, beliau akur rezeki Anugerah Kasut Emas serta slot ke Piala AFC 2021 tidak berpihak kepadanya dan pasukan Perak, namun menegaskan skuad 'The Bos Gaurus' telah memberikan yang terbaik dalam kesemua enam aksi sejak liga kembali bersambung pada akhir Ogos lalu.

"Bila terlepas kedua-dua (Anugerah Kasut Emas dan slot ke Piala AFC) ia satu perasaan yang sangat kecewa kerana tidak dapat bantu pasukan dan merealisasikan impian penyokong melihat saya dinobatkan penjaring terbanyak. Saya membayangkan saya mungkin dapat meraih salah satu daripada itu.

"Secara peribadi saya katakan saingan musim ini sangat mencabar walaupun saya berjaya jaringkan 10 gol. Ia bukan senang dan saya berbangga dengan diri sendiri dan rakan sepasukan yang berikan terbaik dalam setiap perlawanan," katanya hari ini.

Anugerah Kasut Emas Liga Super menjadi milik penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun yang memintas di saat akhir dengan perbezaan dua gol selepas penyerang kelahiran Nigeria itu meledak hatrik susulan kemenangan 6-1 Selangor ke atas Felda United, Sabtu lalu.

Muhammad Shahrel pula gagal meledak jaringan ketika kekalahan 2-3 Perak kepada Kedah di Stadium Ipoh, Perak, semalam yang menyaksikan skuad Lang Merah muncul naib juara Liga Super sekali gus meraih slot ke Piala AFC 2021.

Beliau berkata, pertembungan itu ibarat misi hidup dan mati buat kedua-dua pasukan yang berhasrat beraksi di pentas Asia musim hadapan dengan kesemua barisan pemain bermotivasi tinggi pada aksi berintensiti tinggi itu.

"Ini satu pengalaman baharu di mana saya mengejar gelaran penjaring terbanyak dan pada masa sama perlu bantu Perak meraih tiga mata. Ia satu beban yang berat tetapi saya telah berikan segalanya dan apa yang berlaku semalam kami (pemain) terima seadanya.

"Saya dan pasukan perlu meneruskan serta lupakan apa yang berlaku dalam saingan liga musim ini dan menghala tumpuan untuk berikan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia nanti," jelasnya yang lebih dikenali sebagai Eky.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 9:38 PM

Ahad, 11 Oktober 2020

Eky tekad balas kepercayaan

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 11 Oktober 2020


Shahrel Fikri. Foto Facebook Perak TBG



PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap mengutamakan kejayaan skuad The Bos Gaurus pada aksi terakhir liga berdepan Kedah di Stadium Perak, malam ini biarpun dilihat berpeluang untuk memenangi Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super musim ini.
Dengan merekodkan 10 gol setakat ini Shahrel Fikri atau juga dikenali sebagai Eky mengakui sangat teruja dengan aksi berkenaan yang dilihat sebagai pentas terbaik bagi membalas segala kepercayaan yang telah diberikan oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic kepadanya selama iniJusteru menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia mahu memastikan kemenangan skuad The Bos Gaurus itu malam ini dan mengesahkan kedudukan selaku naib juara CIMB Liga Super.
“Perasaan saya sangat teruja ketika ini, terutamanya dengan prestasi saya bersama pasukan Perak pada tahun ini. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas segala kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih selain kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan selama ini.
“Justeru, saya mahu membalas semua itu dengan memastikan kemenangan Perak malam ini dan sekali gus menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kedua bagi menempah slot automatik ke saingan Piala AFC musim depan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Perak kini mengumpul 18 mata daripada 10 perlawanan hasil lima kemenangan, seri tiga kali dan tewas dua kali berbanding Kedah mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali daripada 10 perlawanan setakat ini.
Selain itu Shahrel Fikri yang turut merekodkan 10 gol setakat ini sebelum ini turut berpeluang memenangi Anugerah Kasut Emas walaupun dicabar hebat dua penyerang import melibatkan Ifedayo Olusegun dari Selangor dengan sembilan gol (tanpa mengira aksi semalam) serta penyerang Terengganu FC I (TFC I), Dominique Da Sylva dengan lapan gol setakat ini.
Sementara itu, Shahrel Fikri menyifatkan dia tidak terlalu memikirkan mengenai anugerah berkenaan sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk memastikan kejayaan pasukan Perak.
“Azam saya untuk perlawanan terakhir ini adalah untuk memastikan Perak menamatkan saingan pada kedudukan kedua dan seterusnya layak ke Piala AFC tahun depan.
“Untuk menjaringkan gol, itu sememangnya menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang penyerang; jika ia berhasil (menambah jaringan), ia adalah bonus untuk saya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104784/BERITA/Sukan/Eky-tekad-balas-kepercayaan© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Khamis, 8 Oktober 2020

Kasut Emas bonus buat saya - Shahrel

Oleh Zulfaizan Mansor - September 30, 2020 @ 11:00pm

zulfaizan@bh.com.my

.


Aksi Shahrel (depan) ketika meraikan jaringan.

KUALA LUMPUR: Penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi menganggap dia akan mendapat 'bonus' sekiranya berjaya merangkul Anugerah Kasut Emas musim ini.

Namun, pemain berusia 25 tahun itu menegaskan betapa fokus utamanya ketika ini untuk membantu skuad Bos Gaurus layak beraksi ke Piala AFC 2021.

Shahrel ketika ini mengungguli carta penjaring terbanyak dengan sembilan gol selepas berjaya meledak empat gol ketika menentang Felda United, Jumaat lalu.

"Memang ini pencapaian membanggakan untuk saya. Kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

"Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi apa saja boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

"Dengan sembilan gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipre (Kedah) dan pemain lain yang mengumpul tujuh dan enam gol. Mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

"Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini," katanya.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic menghuni tangga kedua liga dengan hanya berkelebihan satu mata di depan Kedah.SUMBER BH ONLINE