Rabu, 12 Mei 2021

Tunggakan gaji pemain Perak dibayar hari ini

Noor Hidayah Tanzizi

am@hmetro.com.my



Khairul Shahril Mohamed

Bota: Perak FC akan membayar tunggakan gaji pemain kelab itu hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, tunggakan gaji pemain tidak melebihi tiga bulan dan ia hanya membabitkan pemain Perak FC sahaja.

"Untuk Perak II FC kita memang tiada tunggakan (tetapi) untuk Perak FC kita ada tunggakan sikit tetapi tidaklah sampai tiga bulan.

"Esok (hari ini) kita akan selesaikan gaji yang tertunggak itu bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa.

"Saya tidak pasti (jika tunggakan diselesaikan sepenuhnya) tetapi banyak yang selesai kalau ada tunggakan pun seorang dua yang mungkin tertunggak sebulan. Saya akan cuba pastikan tunggakan tidak melebihi dua bulan," katanya ringkas ketika ditemui, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak terus optimis Perak FC akan bangkit selepas tempoh rehat selama dua bulan hingga Julai depan.

Menurutnya, tempoh itu akan dimanfaatkan untuk memperbaiki pelbagai aspek dalam pasukan bagi memastikan skuad The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt menampilkan aksi terbaik dalam liga selepas ini.

"Masalah kita masih lagi berkaitan kewangan dan kita juga sedang berusaha untuk mencari formula terbaik untuk masalah itu. Perak FC tidak duduk saja tetapi kita ada perancangan, cuma tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

"Kita faham perasaan peminat yang sayangkan pasukan bola sepak Perak dan risaukan keadaan ketika ini, saya tidak salahkan mereka kerana keadaan kita memang agak kurang baik kali ini.

"Tetapi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan dalam tempoh dua bulan ini kita akan cari formula yang terbaik," katanya.

Khairul Shahril berkata, dia mempunyai keyakinan dengan barisan pemain sedia ada biarpun tanpa tonggak pasukan untuk terus mengharungi baki perlawanan liga.

"Saya juga berasa agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan kita ada.

"Sebenarnya Perak ini kelebihan kita mempunyai 'ubi muda' (pemain muda) yang hebat kalau lihat perlawanan lalu. Saya yakin boleh mengharungi baki liga dengan pemain sedia ada," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang melihat pro dan kontra berhubung peletakan jawatan Rizal Ali Naizali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Isnin lalu."Saya lihat ada pro dan kontra apabila sebelum ini dia (Rizal) didesak seolah-olah untuk meletak jawatan tetapi apabila mengumumkan peletakan jawatan itu ada pula komen menyatakan beliau mahu lari daripada tanggungjawab dan banyak perkara belum selesai, jadi kita sedang melihat perkara ini," katanya.Disiarkan pada: Mei 12, 2021 @ 8:51am.1

_______________________________________

Hafizul Hakim dilamar tiga kelab

 11 Mei 2021



Hafizul Hakim (kanan) antara pemain berpengalaman yang membarisi Perak FC musim ini. - Foto FB Perak FcPENJAGA gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengesahkan dilamar tiga pasukan yang beraksi dalam Liga Super pada musim ini, masing-masing pasukan dari pantai timur, Lembah Klang dan selatan tanah air.
Bagaimanapun, Hafizul Hakim berkata, beliau masih berfikir dan berbincang dengan keluarganya sebelum membuat sebarang keputusan.
"Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.
Sabtu lalu, Perak FC kehilangan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kenny Pal Raj serta J Parthiban pula telah memuktamadkan keputusan menyertai KL City FC pada Isnin.
Dalam pada itu, Hafizul Hakim percaya akan ada lagi beberapa pemain utama bakal berhijrah ke pasukan lain memandangkan tiada kata putus yang konkrit dibuat pihak pengurusan bagi memastikan masalah gaji pemain dapat diatasi.
"Siapa yang akan keluar (daripada pasukan) saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier," katanya.
Selain itu, beliau berkata, rata-rata tonggak utama mengambil keputusan 'angkat kaki' bukan semata-mata kerana kelewatan pembayaran gaji tetapi sikap pengurusan Perak FC yang tidak menghormati pemain.
"Mereka kecewa sampai ada (pengurusan) yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing," jelasnya. - Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/138178/BERITA/Sukan/Hafizul-Hakim-dilamar-tiga-kelab© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

____________________________________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/138178/BERITA/Sukan/Hafizul-Hakim-dilamar-tiga-kelab