Jumaat, 29 Julai 2016

Perak belasah Perlis 5-0

ARKIB : 05/04/1998
PERAK mencatat kemenangan besar pada malam pembukaan apabila menumpaskan Perlis, 5-0 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, lapor KAMARUDIN ISMAIL.

Gol-gol perak dijaringkan oleh P. Gunasegaran di minit ke-3, Lazslo Repasi pada minit ke-38, 56 dan 88 dan Roslan Hamid pada minit ke-51.

Pasukan tuan rumah mempamerkan permainan bertenaga dengan melakukan serangan yang mantap.

Perak hanya mengambil masa tiga minit sahaja untuk menembusi pintu gol Perlis melalui tendangan leret P. Gunasegaran.

Ketiadaan pertahanan utama, Janos Krescka tidak memberi sebarang kesan apabila pertahanan Perak yang diketuai Khairul Anwar Baharum berjaya mematahkan setiap serangan Perlis.

Penjaring terbanyak musim lalu, Repasi gagal menolak masuk hantaran lintang M. Nagaraja pada minit ke-12 untuk gol kedua. Penjaga gol Perlis, Rosman Hussin terpaksa bekerja keras bagi menangkis setiap serangan Perak.

Akhirnya Repasi menunjukkan taringnya dengan menambah gol kedua Perak melalui rembatan kencangnya dari sudut yang sukar pada minit ke-38.

Pada babak kedua, Perak yang mendapat sokongan padu hampir 12,000 penyokong terus menekan Perlis.

Pasukan tuan rumah melebarkan lagi jaringan apabila Roslan Hamid merembat masuk hantaran silang Nagaraja bagi gol ketiga pada minit ke-51.

Lima minit kemudian, Repasi menambah gol lagi melalui tolakan mudah pada minit ke-56. Lima minit sebelum perlawanan tamat, lampu limpah di Stadium Perak tiba-tiba terpadam menyebabkan perlawanan ditangguh selama 10 minit.

Sebaik itu berfungsi semula, Repasi menambah gol kelima Perak setelah menerima hantaran pendek daripada Sharin Majid pada minit ke-88.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Frd2MEGY © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Weigang uji 4 tonggak

ARKIB : 25/01/1998
JURULATIH, Karl Weigang akan menguji empat tonggak baru Perak termasuk bekas pemain Selangor, Shahrin Majid dalam dua perlawanan ujian di Stadium Perak, Ipoh malam ini dan esok KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan.

Selain Shahrin, seorang lagi bekas pemain Selangor, Abdul Talib Sulaiman; bekas penjaga gol Pulau Pinang, Zambri Mat Ariff dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan, V. Murugan akan diuji.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar memberitahu perlawanan ujian ini merupakan permainan antara pemain Perak sesama sendiri.

Keempat-empat pemain tersebut 'dibeli' oleh Perak bagi menggantikan sembilan orang pemain yang tidak disambung semula kontrak mereka dan berpindah ke negeri lain.

Enam pemain Perak yang berhijrah ke negeri lain ialah Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Chee Wan Hoe, Zainal Abidin Abu Bakar, Abdul Ghani Malik dan Amzanie Che Ani.

Ahmad Shahrul berpindah ke Negeri Sembilan, Syamsol beralih angin ke Terengganu, Wan Hoe pula mencuba nasib dengan skuad Pulau Pinang.

Zainal Abidin merajuk hati ke Kedah, Ghani pulang semula ke pangkuan Kuala Lumpur dan Amzanie pula masih merahsiakan pasukan yang akan disertainya.

Azmi Mahmud dan Azhar Ahmad adalah penjaga gol musim lalu yang tidak ditawarkan lagi kontrak bagi musim ini dan begitu juga dengan Paul Raj.

Pengurus pasukan itu berkata, perlawanan ujian malam ini dan esok penting bagi Weigang yang sedang membentuk kerangka utama skuad Perak kelak.

''Perlawanan ujian ini juga membolehkan Weigang menilai keupayaan semua pemain supaya dapat menyusun corak latihan sebenarnya selepas Hari Raya Puasa ini,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

Selain itu katanya, dalam perlawanan ujian tersebut masih terdapat beberapa pemain muda yang ingin mencuba nasib dengan skuad Seladang ini.

''Skuad Perak sudah mempunyai senarai pemain yang hampir lengkap tetapi jika pemain-pemain berkenaan berjaya meyakinkan Weigang mungkin khidmat mereka boleh digunakan kelak,'' tambahnya.

Pengurus pasukan itu berkata, Mat Zahir Wahab, Azrul Amri Burhan dan Suhaimi Mat Lazim yang mengalami kecederaan teruk musim lalu akan turut bermain malam ini.

''Perlawanan ujian malam ini bermula pukul 10.00 malam selepas sembahyang sunat trawih,'' ujarnya.

Mengenai Mat Jaya Kassim dan Suharmin Yusoff, Raja Ahmad berkata, Perak masih menanti jawapan mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQvT3LId © Utusan Melayu (M) Bhd

Kubu Perak kian kukuh -- Zamri Mat Aris tandatangani kontrak untuk dua tahun

ARKIB : 18/01/1998
PERAK yang dilanda masalah ketiadaan penjaga gol berwibawa selesai apabila penjaga gol utama Pulau Pinang, Zamri Mat Aris bersetuju menyarung jersi skuad Seladang dalam Liga Perdana musim akan datang.

Zamri, 28, telah menandatangani kontrak untuk dua tahun bersama-sama Perak di hadapan Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar di Ipoh semalam.

Penjaga gol Pulau Pinang itu merupakan pemain luar yang ketiga bersetuju mewakili Perak musim ini selepas kehadiran dua pemain Selangor, Abdul Talib Sulaiman dan Shahril Majid.

Zamri merupakan penjaga gol utama skuad Pulau Mutiara itu bagi musim 1996 dan 1997.

Beliau yang berasal dari Terengganu pernah beraksi dengan negeri asalnya pada tahun 1989 hingga 1992 sebelum beraksi dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dari tahun 1993 hingga 1995.

Kehadiran Zamri itu sekaligus menambahkan persaingan antara beliau dengan bekas penjaga gol Negeri Sembilan, V. Murugan dan Suhaimi Mat Lazim.

''Saya percaya persaigan antara Zamri, Murugan dan Suhaimi akan meningkatkan lagi mutu persembahan mereka kelak,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

''Perak menghadapi masalah berat di pintu golnya apabila Azmi Mahmood dan Azhar Ahmad gagal mempamerkan persembahan yang berkesan,'' ujarnya.

Raja Ahmad percaya kehadiran ketiga-tiga penjaga gol tersebut akan menyelesaikan masalah gawang Perak musim depan.

Penjaga gol, Azhar Ahmad mungkin kehilangan tempat dalam skuad Seladang musim depan kerana beliau belum lagi ditawarkan kontrak oleh Perak.

''Perak masih berusaha mendapatkan penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan Suharmin Yusof,'' ujarnya.

Pengurus pasukan itu sudah menghubungi Mohd. Jaya dan penyerang tersebut meminta sedikit masa untuk berfikir tentang tawaran Perak.

Sementara itu, kedudukan pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar masih menjadi tanda tanya apabila pemain itu masih belum menandatangani kontraknya.

''Saya tidak tahu mengapa Shahrul belum muncul lagi walaupun sudah berjanji akan terus kekal dengan skuad Perak,'' kata Raja Ahmad.

Sukan Utusan difahamkan Shahrul tidak berpuas hati dengan tawaran gaji oleh Perak yang dianggap murah dan Kuala Lumpur pula menawarkan gaji yang lebih lumayan.

''Saya berharap pemain tengah itu akan berpegang kepada janjinya untuk terus mewakili Perak musim ini,'' kata Pengurus Pasukan tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FQFvSYvj © Utusan Melayu (M) Bhd

Shahrul masih berteka-teki dengan Perak

ARKIB : 16/01/1998
PEMAIN tengah Perak, Ahmad Shahrul Azhar masih bermain teka-teki sama ada ingin terus menyarung jersi skuad Seladang atau beraksi dengan pasukan lain dalam Liga Perdana musim akan datang.

KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan, kontrak Shahrul telah berakhir pada Disember lalu, tetapi beliau masih belum menandatangani kontrak baru dengan skuad Seladang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta pemain tengah itu datang dengan segera untuk menandatangani kontrak baru.

Raja Ahmad tidak tahu mengapa Shahrul masih belum muncul untuk mengesahkan kedudukannya sebagai pemain Perak musim akan datang.

Sukan Utusan difahamkan Shahrul cuba meminta kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada pihak pengurusan Perak menyebabkan pemain tengah itu masih belum menurunkan tandatangannya.

Shahrul juga dikatakan menerima tawaran yang lebih baik daripada beberapa pasukan termasuk Kuala Lumpur dan sekali gus pemain tersebut terpaksa membuat pertimbangan yang mendalam.

''Saya berharap Shahrul tidak mungkir janji kerana beliau sudah berjanji akan terus kekal di sini,'' kata Raja Ahmad.

Sebelum ini, perpindahan Chee Wan Hoe ke Pulau Pinang dan Syamsol Saad ke Terengganu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati kedua-dua pemain itu terhadap jumlah gaji yang mereka terima.

Raja Ahmad berkata, Wan Hoe tidak bersedia gajinya dikurangkan walaupun pemain pertahanan itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan sahaja.

Wan Hoe menerima gaji hampir RM9,000 itu merupakan pemain tempatan yang paling mahal musim lalu.

Namun begitu, gajinya dikurangkan hampir 50 peratus tahun ini menyebabkan beliau mengambil keputusan berpindah ke Pulau Pinang.

'' Gaji pemain-pemain Perak tahun ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim lalu,'' ujarnya.

'' Saya tidak boleh meletakkan bayaran gaji yang terlalu tinggi ke atas pemain-pemain yang hanya memberi sedikit sumbangan musim lalu,'' kata Raja Ahmad.

Syamsol juga tidak berpuas hati dengan tawaran gaji barunya menyebabkan pertahanan itu beralih angin ke pantai timur yang menawarkan gaji lumayan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FQ2CBsME © Utusan Melayu (M) Bhd

Perak daftar 20 pemain

ARKIB : 14/01/1998
PERAK dijangka mendaftarkan 20 pemain sahaja untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan skuad Seladang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan setiap pasukan mendaftar 25 pemain tetapi Perak tidak akan berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu katanya, Perak akan memilih pemain- pemain yang berkualiti sahaja serta mampu membawa cabaran bersama pasukan itu.

Raja Ahmad membayangkan Perak akan mengekalkan 13 pemain yang mempamerkan persembahan menarik sepanjang musim lalu bagi musim baru ini.

Tiga pemain pertahanan _ Khairul Anuar Baharom, Roslan Hamid dan Chan Kok Heng dikekalkan dan mereka akan berganding dengan pertahanan dari Hungary, Janos Krecska.

L. Suresh, Ahmad Shahrul Azhar, Azrul Amri Burhan dan Lim Seng Kong merupakan empat pemain tengah yang akan terus dikekalkan musim depan.

Penjaring kedua terbanyak Perak, Mat Zahir Wahab yang ditimpa kemalangan sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia tahun lalu akan terus dikekalkan dalam skuad Seladang itu.

Mat Zahir yang menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana lalu akan digandingkan dengan pemenang Anugerah Kasut Emas, Laszlo Repasi bagi memantapkan serangan Perak kelak.

Selain Mat Zahir, M. Nagarajah dan P. Gunasekaran turut dikekalkan pada musim akan datang sebagai penyerang skuad Seladang.

Tiga penjaga gol, Suhaimi Mat Lazim, Ramzi Rizuwan dan Azhar Ahmad akan terus mengawal gawang Perak musim baru ini.

Tiga pemain pertahanan _ Syamsol Saad, Zainal Abidin Abu Bakar dan Ghani Malik serta pemain tengah, Amzanie Che Ani yang tamat kontrak bulan lalu tidak mahu lagi bersama-sama Perak.

Syamsol Saad akan berpindah ke Terengganu dan Ghani Malik pula dikatakan akan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Perak juga berusaha membawa masuk pemain penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan penjaga gol Negeri Sembilan, V. Murugan bagi memperkuatkan lagi skuad Seladang tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FPMYvSIW © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

TERKINI LIGA SUPER 23.7.2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PDRM       0-1 FELDA
                        m-35 Lutfulla Turaev  
Perak               1-0 Terengganu
m-26 Kenny Pallraj
Kelantan 0-0 Pahang
Pulau Pinang 0-0 Selangor

Kedah 0-0 PBDKT T-Team

TERKINI LIGA SUPER 23.7.2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PDRM 0-0 FELDA
Perak 1-0 Terengganu
m-26 Kenny Pallraj
Kelantan 0-0 Pahang
Pulau Pinang 0-0 Selangor

Kedah 0-0 PBDKT T-Team

Perak kesal Syamsol mungkir janji


 

ARKIB : 11/01/1998
SYAMSOL SAAD.

PERAK terkilan apabila pemain pertahanannya, Syamsol Saad mungkir janji dengan berpindah ke Terengganu bagi Liga Perdana musim akan datang, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Raja Omar kesal dengan tindakan Syamsol itu kerana pemain tersebut sudah berjanji mewakili Perak dalam dua pertemuan lalu.

Katanya, pertahanan itu sudah menyatakan untuk kekal dengan skuad Seladang secara lisan dalam kedua-dua pertemuan tersebut tetapi kini berubah kata pula.

Raja Ahmad berkata, keputusan pemain pertahanan itu mungkin menjejaskan perancangannya di barisan pertahanan musim akan datang yang terpaksa mencari seorang pemain gantian.

Namun begitu katanya, skuad Seladang masih mempunyai lima pemain seperti Khairul Anuar Baharom, Janos Krescka, Roslan Hamid, Chee Wan Hoe dan Chan Kok Heng bagi memperkuatkan benteng pertahanannya.

''Syamsol memberi alasan sering berada di bangku simpanan sahaja musim lalu menyebabkan beliau ingin berpindah ke negeri lain musim depan,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

Pengurus pasukan itu tidak boleh mengarahkan jurulatih, Karl Weigang supaya menurunkan Syamsol pada tiap-tiap perlawanan kerana jurulatih tersebut mempunyai perancangan tersendiri.

''Jika Syamsol merasakan tidak mendapat tempat dalam skuad Perak musim lalu, beliau bolehlah mencari pasukan yang sesuai,'' ujarnya.

Pemain pertahanan itu mula beraksi dengan Perak dalam Liga Simpanan pada tahun 1991 dan dua tahun kemudian beliau diserapkan dalam skuad Liga Perdana negeri ini.

Kontrak Syamsol dengan skuad Perak sudah tamat pada 31 Disember lalu tetapi boleh dipanjangkan setahun lagi jika skuad Seladang mahukannya.

Seorang lagi pemain pertahanan, Ghani Malik turut meminta kebenaran berpindah ke Kuala Lumpur tetapi Perak tidak melepaskannya.

Raja Ahmad berkata, tenaga Ghani masih diperlukan di sini selepas sembuh daripada kecederaan yang dialaminya sepanjang musim lalu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan tersebut juga sedang berusaha membawa penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim ke sini tahun depan.

''Saya berharap dapat membawa Mohd. Jaya untuk digandingkan dengan Laszlo Repasi yang sekaligus memantapkan lagi barisan serangan Perak,'' ujarnya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FEJKuxL0 © Utusan Melayu (M) Bhd